بسم الله الرحمن الرحيم
Perjalanan hidup penulis sebagai seorang selama hampir 4 tahun di bumi aulia' ini sememangnya memberikan 1001 pengalaman yang amat berharga. Bahkan ianya merupakan sebuah buah tangan yang bisa menjadi coretan terindah untuk dijaja apabila pulang ke tanah air kelak. Bukan mudah untuk menyediakan diri penuh dengan pelbagai pengetahuan tambahan yang mampu memberikan maklumat tambahan tika berhadapan dengan masyarakat.
Gugusan pengalaman menuntut ilmu di negeri orang amat bermakna lebih-lebih lagi di perkampungan yang kaya dengan pelbagai khazanah ilmu. Yang lebih menarik tatkala melangkah kaki di mana jua ceruk ardul kinanah ini semoga memberikan manfaat keberkatan moga terkesan pijakan tersebut.
Dalam melalui musim imtihan yang menjangkau hampir dua bulan semestinya tidak kosong dengan pelbagai agenda untuk diisi. Tidak keterlaluan rasanya untuk mengatakan pada musim imtihan ini juga setiap penuntut ilmu ALLAH bakal berhadapan dengan pelbagai dugaan dan tribulasi. Ianya merupakan sunnatullah untuk menguji setara mana ketahanan para pejuang agama ALLAH ini dalam berhadapan dengan mehnah musim imtihan.
Pada pengalaman penulis secara peribadi sememangnya memberikan pelbagai bentuk dugaan yang menguji ketahanan fizikal dan rohani. Setiap tahun penulis menerima kedatangan ujian yang tidak diundang. Masih segar dalam catitan perjalanan penulis ketika berada di tahun 1 menerima musibah yang hampir-hampir melunturkan semangat untuk terus menduduki peperiksaan. Musibah yang hampir kepada penyakit lumpuh itu tidak mematahkan semangat penulis untuk menduduki peperiksaan subjek yang terakhir walau terpaksa berkerusi roda dengan bantuan saudara Asri Jaafar pada ketika itu.
Syukur pada ALLAH kerana memberikan kesempatan kepada penulis untuk meneruskan pengajian di tahun kedua, terus menapak ke tahun 3 sehinggalah penulis berjaya menjejakkan kaki ke tahun akhir ini. Pada tahun terakhir ini pula, penulis diuji dengan kehilangan bonda yang disayangi. Ketika itu penulis hampir berhadapan dengan peperiksaan semester 1 bagi tahun akhir ini. Penulis masih tegak berdiri untuk meneruskan langkah hingga ke akhirnya.
Ini adalah antara dugaan yang tidak boleh untuk dihindari untuk mengasak kekentalan fizikal dan rohani para penuntut ilmu ALLAH. Bahkan penulis pernah menerima satu khabar daripada seorang abang lama dan beliau menerima khabar tersebut dari masyarakat arab sendiri. Bahawasanya pada musim imtihan seluruh gereja di Mesir akan melepaskan jin-jin peliharaan mereka untuk menggoda dan melalaikan para penuntut ilmu ALLAH di Universiti Al Azhar yang bakal berhadapan dengan dugaan ilmu. Sejauh mana kesahihannya tidak diketahui.
Meskipun apa jua dugaan yang datang bertubi-tubi itu adalah datangnya dari ALLAH. Ini adalah disebabkan segala yang berlaku di sekeliling kita adalah satu pertaruhan kepada pejuang agama ALLAH untuk menguji tahap kekentalan iman walau pelbagai kemungkinan yang didatangkan.
Antara tribulasi yang sentiasa menerjah para pejuang agama ALLAH adalah tekanan hati dan perasaan, kehilangan orang-orang yang disayangi, ditimpa penyakit, perselisihan faham, culas dan sebagainya. Ini adalah sunnatullah terhadap para penuntut ilmu ALLAH dalam memastikan kekentalan iman yang mapan dalam mendepani tribulasi luar yang lebih mencabar. Maka, beruntunglah mereka yang berjaya menjalani dugaan yang dibentangkan kepadanya.
Hadapilah setiap yang mendatang itu dengan hati yang terbuka dan sudut pandangan yang positif serta diiringi kesabaran dan ketabahan yang kental. Malah dalam musim ini jugalah pintu kemaksiatan seolah-olah terbuka luas dan begitu mudah dicerobohi. Justeru bersamalah mewujudkan suasana ingat mengingati dan nasihat menasihati sekiranya ianya berlaku dikalangan kita untuk mewujudkan suasana diredhai.
Akhirnya sebagai konklusi pada entri kali ini, perlunya bagi setiap individu untuk memastikan kebersamaan dalam setiap amalan. Penyatuan kesefahaman dalam mendalami seluruh etika hidup mencakupi 2 faktor penting untuk berjaya iaitu menjaga dengan sehabis baik hubungan nan erat terhadap pendekatan kepada ALLAH setiap masa. Dan yang kedua menjaga hubungan sesama rakan serumah dan manusia sekeliling dengan mengelakkan sebarang unsur yang mampu menggugat kesefahaman sejagat.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment