Video Klip Pilihan

Tuesday, April 29, 2008

.:: Amalan Menjana Kecemerlangan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Maha suci ALLAH Tuhan Sekalian Alam yang sudi memberikan ruang waktu yang seluas-luasnya kepada hambaNya ini dalam meneruskan aganda dakwah walau disibukkan dengan pemfokusan untuk menghadapi peperiksaan terakhir bagi penulis. InsyaALLAH semoga diberikan kemudahan dan kejayaan yang berpanjangan dalam memartabatkan Islam, di dunia dan juga di akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.

Menyedari hakikat menuntut ilmu itu berpanjangan sedari awal dilahirkan ke muka bumi sehinggalah ke liang lahad. Maka begitu jugalah hakikatnya tanggungjawab untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat sebagai medan dakwah kepada seluruh umat manusia. Semoga sedikit sebanyak perkongsian ilmu tersebut mampu menjadi pembantu bukan sahaja ketika berhadapan dengan ALLAH di akhirat kelak, bahkan semoga mampu menjadi nusrah dikala berada di dewan peperiksaan nanti.

Kali ini penulis ingin mencurahkan beberapa amalan perkasa yang mampu menjana kecemerlangan setiap individu muslim berdasarkan saranan dan amalan 'riwayat teragung'. Baginda sememangnya menjadi sumber rujukan dalam apa jua aspek kehidupan tanpa ada tercicir walau sedikitpun. Benarlah kalamullah yang menyebut melalui firmanNya yang bermaksud "Tidaklah kami mengutuskan kamu wahai Muhammad SAW ke muka bumi semata-mata untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam".


Semoga ianya sedikit sebanyak memberikan cahaya penyuluh untuk membersihkan hati kita bukan sahaja pada musim peperiksaan, bahkan menjadi amalan sepanjang jangka hayat ini.

  • Niatkan dalam apa jua perkara semata-mata kerana ALLAH, untuk mendapat keredhaanNya. Rasulullah SAW bersabda "sesungguhnya setiap amalan mestilah dimulakan dengan niat..." (Muttafaqun Alaihi)
  • Sentiasa meletakkan diri sentiasa berada dalam keadaan berwudhu. Kata Muthaqqaf :Apabila seseorang itu berada dalam keadaan berwudhu ilmu akan mudah diterima kerana ilmu tidak akan masuk pada sesiapa yang tidak bersih akal dan dirinya.
  • Memulakan setiap bacaan dengan basmalah, serta Alfatihah disedekahkan kepada tok-tok guru yang mengajar dan pengarang kitab pengajian. Kata Muthaqqaf:Semoga dapat melembutkan hati mereka apabila menanda kertas jawapan dan mempertimbangkan jawapan yang diberikan.
  • Amalkan solat-solat sunat sebelum dan selepas sebagai penguat dan pembantu seandainya terdapat kekurangan pada Solat Fardhu 5 waktu. Kata Muthaqqaf:Usah berharap apa yang telah dilaksanakan benar-benar sempurna kerana pasti ada kekurangan yang memerlukan amalan lain untuk menampal kekurangan tersebut.
  • Melaksanakan Solat Sunat Hajat setiap malam selepas Maghrib. Lebih baik lakukan pada sepertiga malam dan pohonlah keampunan, dan apa jua hajat. Rasulullah SAW bersabda di dalam Hadith Qudsi ALLAH berfirman "wahai malaikat saksikanlah hambuKu yang memohon keampunan dan bermunajat kepadaKu dan katakanlah pada mereka AKU telah memperkenankan mereka". Maksud hadith lain:"Barangsiapa yang tidak mampu bangun pada pertengahan malam, maka bangunlah di satu pertiganya, barangsiapa yang tidak mampu pada waktu itu maka bangunlah pada awal malam".
  • Melakukan Solat Sunat Hifzi untuk menjaga hafalan Quran terutamanya kerana Quran adalah sumber segala ilmu. Kata Muthaqqaf:Semua sedia maklum mengenai kelebihan dan kaifiat melaksanakannya. Bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya boleh membacanya melalui entri penulis yang terdahulu.
  • Melakukan Sujud Syukur setiap hari bahkan setiap kali selepas solat digalakkan. Bukan hanya apabila menerima khabar atau petanda baik sahaja. Kata Muthaqqaf:Jadilah manusia yang sentiasa memanjatkan puji dan syukur kepada ALLAH walau di mana jua dan walau apa jua keadaan.
  • Mengamalkan Solat Sunat Witir setiap hari paling sedikit sebanyak satu rakaat dengan bacaan Al-Fatihah dan 3 Qul. Kata Muthaqqaf:Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan amalan ini sebagai penutup dalam kehidupan harian Baginda. Bagaimana pula kita?
  • Membaca Surah Yaasin yang merupakan 'hati Al-Quran' semoga dengan amalan tersebut mampu menerbitkan cahaya kefahaman dalam setiap bacaan dan hafalan kita. Rasulullah SAW bersabda "lakukanlah sesuatu amalan secara berterusan walaupun sedikit".
  • Kurangkan tidur, kurangkan makan, kurangkan bercakap. Semoga dengan berkurangan semua ini mampu menambahkan pemahaman, pemahaman dan penguasaan dalam sesuatu ilmu. Saidina Umar Al-Khattab berkata:"orang yang paling banyak bercakap maka kuranglah hemahnya". Kata Muthaqqaf:Bersama kita menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
  • Ikhlaskan hati, sucikan jiwa, bersihkan minda dari rona-rona maksiat yang mampu mengikis keberkatan ilmu lantas menyukarkan laluan menuju ke gerbang kejayaan. Kata Muthaqqaf:Memelihara hubungan bersama ALLAH dengan sentiasa mentaqarrubkan diri kepadanya disamping menjaga hubungan sesama manusia tanpa sengketa, permusuhan dan kebencian antara satu sama lain.
Semoga perkongsian sedikit mutiara ilmu ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan integriti diri penulis dan panduan kita semua. Penulis bukanlah manusia yang terbaik dalam memberikan sebuah motivasi yang amat bernilai. Akan tetapi atas dasar amanah ilmu yang penulis miliki perlunya untuk dicurahkan kepada umat Islam seluruhnya. Mengikut kemampuan penulis sebelum terjun ke medan dakwah yang sebenar.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: