Video Klip Pilihan

Friday, April 18, 2008

.:: Waktu Terus Berlalu ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Manusia itu lemah. Manusia itu sentiasa melakukan kesilapan. Manusia itu sentiasa leka dan alpa. Manusia juga tidak lari dari kesalahan. Perkara ini adalah lumrah yang akan dilalui oleh makhluk yang bergelar manusia selagi enjin jantungnya terus menjalankan amanah yang telah disuruh. Semenjak beberapa hari yang lepas, banyak perkara yang telah penulis lalui. Baik yang menggembirakan mahupun sebaliknya. Namun segala itu sudah menjadi sinonim dalam tender hidup penulis semenjak diperingkat rendah lagi dengan pelbagai mehnah.

Rona-rona Imtihan

Di celah-celah kesibukan para penuntut ilmu untuk menghadapi imtihan yang bakal menjelma. Ada yang lagi 2 minggu, 3 minggu dan ada yang lagi sebulan. Begitu jualah diri ini masih mempunyai masa hampir sebulan sebelum imtihan menjemput pergi. Tampak wajah kesungguhan dan penuh dengan harapan. Sungguh menarik menyaksikan gelagat-gelagat yang terhasil dari wahana imtihan ini. Itulah sinar pengharapan yang mereka zahirkan demi mencapai kejayaan yang mampu menggembirakan keluarga.

Berbeza dengan diriku. Bukan ingin membuka pekung diri sendiri. Tapi inilah hakikat untuk penulis kongsikan bersama sahabat-sahabat sekalian bahawa diriku inilah bukanlah sehebat yang difikirkan. Jujur penulis katakan, penulis tampak menyerlah dari segi kepimpinan bukan baru bertapak di alam universiti ini, akan tetapi semenjak di alam sekolah menengah lagi bakat tersebut telah dikesan oleh pendidik-pendidikku. Alhamdulillah semoga ianya memberikan manfaat kepada semua dan dijauhi dari terjebak dengan kejahatan.

Teguran Itu Mematangkan Diri

Melenting? Tidak boleh menerima teguran dan kritikan orang lain? Berpaling dan tidak bertegur sapa? Ini bukanlah sifat yang menjadi amalan penulis. Ya, penulis adalah pemimpin. Pemimpin yang memikul amanah memandu bahtera Islam yang menjadi kronologi teragung dalam melayari lautan yang tidak menentu pukulan badai mendatang. Bahkan penulis selaku pembawa amanah ilmu ALLAH yang amat suci dengan ketinggian syiar dan syariat yang menjadi tunjang utama membentuk ummah gemilang. Seterusnya membangun semula khilafah mengangkat biah solehah.

Penulis mohon kemaafan nan tulus atas keterlanjuran yang sepatutnya berlaku. Benarlah teguran sahabat bahawa matlamat penulis tidak menghalalkan cara yang digunakan. Sekiranya diteruskan akan mengeruhkan kegemilangan persatuan ini. Terima kasih atas kritikan yang dilemparkan demi untuk kebaikan bersama. Bahkan bagi memastikan turutan masyarakat terhadap segala perilaku azhari tidak canggung dengan cara yang salah sehingga membuka pintu-pintu kemurkaan Ilahi.


Jutaan kemaafan atas keterlanjuran yang tidak sepatutnya terjadi dan sejuta kemaafan penulis pohon daripada sahabat-sahabat yang berani menegur penulis. Jangan kalian melihat penulis berada di atas kalian merasakan tidak layak untuk menegur. Itu satu konsep yang salah kerana pemimpin Islam seharusnya terbuka menerima teguran dari orang bawahan. Penulis tidak terlepas dari pengamalan para khalifah Islam teragung itu.

Baca, Faham, Hafal, Amal

Sehingga kini penulis masih belum mempersiapkan satu kelengkapan yang sempurna dalam menempuh imtihan yang bakal kunjung tiba. Kalau ingin diperincikan secara peratusan, masih berada di paras berbahaya, bawah sedar sekitar 40% sahaja. Penulis yang tidak gemar menghafal apa jua subjek kecuali wahyu Ilahi dan Kalam Rasulullah yang sememangnya memerlukan penghafalan yang jitu dalam menyediakan sebuah generasi rabbani yang berwibawa.

Nah, kini berbaki lagi sebulan untuk penulis menyediakan diri dengan sebaiknya untuk menghadapinya. Untuk tahun terakhir ini, penulis dikehendaki untuk menghafal sebanyak 8 juz bermula dari awal surah Al-Fatihah hingga seterusnya. Buat masa ini, setengah dari ketetapan itu masih penulis belum langsaikan. Ditambah lagi dengan keculasan yang melanda diri merencatkan semangat itu. Penulis sendiri tidak mengetahui apakah lagi cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

Andai kalian mempunyai petua dan tips untuk membantu keculasan ini, sudi-sudilah suarakan untuk meningkatkan jatidiri sebagai warga azhari yang berketerampilan dan mampu membawa wahana dakwah global yang semakin mencabar.

Bersama kita meningkatkan keupayaan diri dalam penguasaan segenap bidang danlapangan untuk menyediakan diri dengan secukupnya sebelum terjun dengan lebih serius ke kancah dakwah yang penuh dengan mehnahnya. Semoga ia sentiasa mengingatkan diri kita dari semasa ke semasa agar mampu menjadi pewaris perjuangan para Nabi dan Rasul dalam mempertahankan akidah Tauhid yang semakin tercalar.

Sayangi Diri Ini Seadanya

Penulis amat tertarik dan ingin berkongsi satu ungkapan yang amat menyentuh hati sesiapa sahaja yang menghayatinya dengan amat dalam. Apabila penulis mencenungnya lantas diperhatikan dalam arca kehidupan sememangnya memberikan seribu satu makna yang tidak dapat dilupakan. Oleh itu, perlulah setiap yang bergelar manusia yang dikurniakan hati dan perasaan, untuk menghayatinya dan menunaikan hak kepada yang selayaknya. Terima kasih kepada sahabat yang sudi berkongsi kata-kata hikmat yang penuh ironi.

"Jangan tinggalkan orang yang kita SAYANG untuk orang yang kita SUKA, kerana orang yang kita SUKA akan tinggalkan kita untuk orang yang mereka SAYANG. Jangan cuba dapatkan apa yang kita SAYANG tapi SAYANGILAH dengan apa yang kita ada!!!"

"Hidup tak perlu terlalu sempurna, tak perlu terlalu kaya, tak perlu terlalu terkenal, tetapi selagi masih ada INSAN YANG MENGINGATI, ia sudah lebih dari mencukupi. Persahabatan yang sejati akan membawa KERINDUAN yang abadi."

"Sesungguhnya PERSAHABATAN itu lebih unggul dari PERCINTAAN, tanpa PERSAHABATAN, PERCINTAAN akan berakhir tetapi tanpa PERCINTAAN PERSAHABATAN boleh kekal. Oleh itu, hargailah PERSAHABATAN yang terjalin. Selalunya kita tidak menyedari bahawa ada insan yg LEBIH MENCINTAI diri kita. Oleh itu, hargailah ianya dengan sebaiknya."


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: