Video Klip Pilihan

Thursday, January 24, 2008

.:: Penglipur Lara Sebelum Berakhir ::.

بسم الله الرحمن الرحيم
Serius muka menelaah madah kedua terakhir. Aja² fighting... ♥

Luahan rasa hati | Menitip kalam semangat

Melihatkan sahabat-sahabat lain yang telah pun selesai imtihan mereka tadi dan hari sebelumnya terbit rasa cemburu. Bilakah pula giliran aku mengakhiri imtihan yang cukup menyeksa ini. Bukan menyeksa apa pun, sekadar merasakan terhimpit dengan suasana imtihan yang bagaikan menghimpit waktu dan setiap gerak laku. Tetapi kalau selain waktu imtihan jika difikir-fikirkan lagilah penuh dengan pelbagai aktiviti yang membuatkan keadaan diri ini seolah-olah tidak cukup tanah untuk menyelesaikan satu-persatu lambakan kerja yang menanti untuk diselesaikan.

Walau bagaimanapun itu semua sunnah seorang penuntut ilmu ALLAH yang ingin mendapat kenikmatan janji yang dijanjikan di akhirat kelak. Disamping menyuntik semangat untuk memperjuangkan agama ALLAH kelak supaya kembali gemilang. Akan tetapi untuk aku melaksanakan perkara tersebut terasa cukup berat memandangkan persiapan diri ini yang masih belum mampan.

Dalam masa yang sama sebenarnya esok aku akan menghadapi satu madah yang terakhir untuk peperiksaan tahun akhir bagi semester yang pertama ini. Madah Manahij Dakwah Para Rasul Utusan ALLAH yang mengisahkan tentang perjalanan dakwah para utusan ALLAH dalam menyampaikan ajaran Tauhid (mengesakan ALLAH). Sememangnya perjalanan dakwah mereka penuh dengan onak dan ranjaunya. Menagih hiba di hati ini membayangkan kesulitan dan kepayahan melaksanakan amanah ALLAH itu.

Memikirkan perkara itu, maka amanah dalam meneruskan kerja-kerja dakwah mereka terpundak di bahu-bahu kita semua para penuntut ilmu ALLAH yang memahami akan tuntutan itu. Oleh itu, ayuh bersama kita susuri perjalanan kekasih ALLAH. Agar kita tiada rugi dalam meniti hidup ini.

Penglipur lara penghapus tekanan emosi

Tatkala menghayati sebuah sirah perjalanan insan-insan teragung, kami yang sedang tekun menelaah madah untuk imtihan esok hari, hadir sebuah penglipur lara yang tidak di duga. Aku pada ketika itu sedang melayan sahabat-sahabat di YM dan seorang sahabatku sedang menelaah kitab yang sama.

Sementara menantikan masuknya waktu Asar, maka datang seorang insan dengan membawa 2 plastik berisi kuih donat. Seplastik diletakkan di dalam peti sejuk dan seplastik lagi diletakkan betul-betul di atas printer. Apabila ditanya dia menjawab " Ustaz Hafiz Mansor yang suruh letakkan di sini." Kami yang menyaksikan adegan tersebut tertanya-tanya apa motif diletakkan kedua-dua bungkus kuih tersebut pada tempat itu.

Dah malas nak memikirkannya, lantas kami tidak mengendahkannya. Dalam pening-pening memikirkan perkara tu tatkala bersembang bersama sahabat-sahabat di YM, terpandang aku akan nama 'Hafiz Mansor'. Apa lagi terus aku klik dan menanyakan perkara itu. Perbualan kami adalah sebagaimana berikut :

Me : hafiz kuih donat tu nak watpe?
Hafiz Mansor : kuih donat apanyer?
Me : aik? mana aku tau yahya yg bawa...
Hafiz Mansor : setahu aku yg aku suruh dia bayar duit printer segenih pastu duit air dlm peti sejuk lg segenih...
Me : apsal lak dia letak donat tu 1 kt atas printer lg 1 kt dlm peti sejuk? :))
Hafiz Mansor : lain yg aku suruh lain yg dia buat =))
Me : patutla aku dgn hairi pelik si hafiz ni napela suruh budak ni letak donat kt situ...
Hafiz Mansor : nak pecah perut aku la si yahya ni =)) mana di yahya tu nanti aku jotos kepala dia...
Me : adei xthn aku la lawaknyer... :))

(Bahasa perbualan yang biasa digunakan di ruang sembang YM)

Kami yang di pejabat ni tergelak macam nak pengsan. Kepala aku ni dah macam nak meletup. Apatah lagi mereka yang lain. Yang si Hafiz Mansor dan ahli bait zahra' pun gelak sampaikan nak pecah perut. Macam-macam kerenah budak-budak ni.

Bila aku jumpa si Yahya dan rakan-rakannya, lalu dia menceritakan semula," ana sebenarnya tengah nak beli donat (depan syaqah 2). Lepas tu Ustaz Hafiz terus keluar dari bilik dia bagi ana 2 genih suruh letakkan 1 dalam peti sejuk lagi satu atas printer kat pejabat. Kebetulan harga donat tu segenih seplastik. Jadi ana ingatkan dia suruh beli donat letak kat tempat tu."

Kami yang mendengar penjelasan beliau tergelak besar. Merona merah muka geli hati dengan kerenah beliau yang sentiasa mencuit hati. Gelaran "Ulama' Johor" itulah untuk beliau. Semoga beliau bakal menjadi ulama' Johor yang sebenar-benarnya!!

Ole-ole untuk sahabat sekalian | Terima kasih atas kunjungan kalian

Rasanya ini sahaja yang mampu aku berikan sebagai penglipur lara sambil-sambil penat menelaah kitab. Otak kita ni bukan robot dan komputer yang boleh masuk tanpa had. Sememangnya otak manusia lebih hebat dari memori komputer. Apapun semoga perjalanan imtihan kami pada hari esok akan dipermudahkan dan mendapat nusrah dari ALLAH demi mencapai sahutan 'Ulama Daie Penerus Perjuangan Para Nabi SAW'.

Cukuplah sekadar ini dulu luahan rasa hati penghibur tekanan kepada aku yang masih berada dalam 'exam mode'. Imtihan untuk aku dan sahabat-sahabat lain yang berada di tahun 3 dan 4 Usuluddin di semua jabatan bukannya setakat berakhir esok (Khamis | 24 Januari 2008). Bahkan berlanjutan sehingga 12 Februari 2008 dan sekitar tarikh tersebut untuk peperiksaan syafawi.

Doakan kami ya. Semoga kejayaan milik bersama untuk kegemilangan ISLAM kelak. Dalam menuju dan menggapai Mardhatillah yang terutama. Allahumma Thabbitna 'Ala Dinika Wa Ta'atika. Amin Ya Rabbal Alamin.

Frasa kata :
  1. syafawi : ujian lisan, oral bahasa arab.
  2. daie : pendakwah.
  3. madah : subjek, matapelajaran.
  4. genih : Pound Mesir (Matawang Republik Arab Mesir).
  5. bait zahra' : tempat tinggal sekumpulan pelajar Johor di kawasan Seksyen Zahra'.
  6. Manahij : silibus, pendekatan, method.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: