Video Klip Pilihan

Sunday, January 13, 2008

.:: 2007 : Statistik Jenayah Meningkat ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Menurut taklimat polis kepada Perdana Menteri, jenayah ganas meningkat 13.4 peratus. Kes rogol naik 30 peratus manakala rompakan berkumpulan melonjak 160 peratus. Mencabul kehormatan naik 12.4 peratus, pecah rumah waktu malam bertambah 21.7 peratus, pecah rumah siang hari naik 4.2 peratus, curi motosikal meningkat 3.2 peratus, curi kereta naik 11.4 peratus dan kecurian lain naik 5.1 peratus.

-Sumber Harakah Daily-

Semestinya bagi mereka yang berada di tanah air tidak dapat menahan akan suasana Malaysia yang dihambat pelbagai masalah yang bertimpa-timpa dengan jenayah yang berleluasa sehingga mengundang ketakutan di hati sesiapa yang berada di tengah-tengah kota metropolitan yang semakin menjadi-jadi. Sebelumnya dibebani dengan kenaikan gula, minyak petrol, disusuli dengan catuan minyak masak dan pelbagai kesulitan yang melanda. Walaupun di kejauhan mata memandang akan tetapi berat bahu menahan hiba saudara-saudaraku yang berada didalam keadaan kesempitan.

Seandainya kita perhatikan di sepanjang pemerintahan negara seboleh-bolehnya sebarang statistik yang memburukkan pemerintahan kepimpinannya sehingga tidak sampai ke pengetahuan umum. Apabila PM mengetahui akan peningkatan kadar peratusan jenayah ini beliau bahkan terperanjat sehingga menanyakan semula soalan kepada polis "Apa yang berlaku? Mengapa tinggi sangat?" Namun begitu, bagi kita, ianya bagaikan sesuatu yang normal sejak tampuk pemerintahan beliau.


Justeru, segala ini tidak akan dapat mengubah segala ini seandainya dibiarkan pemerintahan yang memegang negara dalam keadaan penuh dengan kacau bilau. Kalian lebih arif dengan suasana negara kita jika dibandingkan dengan pemerintahan yang sebelumnya.

Apa yang ingin dikongsi bersama kalian mengenai kenyataan pihak polis kepada Perdana Menteri yang merupakan pemerintah sekaligus menjawat Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang seolah-olah memandang enteng mengenai masalah jenayah yang lantaran menjadikan ianya masalah picisan membimbangkan rakyat terutamanya terhadap keluarga masing-masing.

Kita lihat pada penutup tahun 2007 dikejutkan dengan kehilangan seorang lagi kanak-kanak bernama Sharlinie dan PM hanya melaungkan 'Pulangkan Sharlinie' sebagaimana yang dipetik dari dada akhbar
Berita Harian 2 hari lepas. Dan menyusul selepas itu kes pembunuhan Timbalan Pengerusi MIC, Dato' Sri Krishnasamy. Sebelum itu kita turut dikejutkan dengan salah laku Menteri Kesihatan Malaysia, Dato' Chua Soi Lek. Mengingatkan rakyat untuk menjauhi seks bebas akan tetapi beliau sendiri yang melakukannya.
Kita sendiri mampu untuk menilai sejauhmana keberkesanan dan penyelesaian segala konflik yang disebutkan di atas. Bahkan kes-kes jenayah yang berlaku sebelum ini pun masih belum selesai. Sebagai contoh kes rogol dan bunuh adik Nurin masih belum menjumpai dalang kepada kes ini. Di manakah perginya polis-polis Malaysia yang terkenal dengan 'Mesra, Cepat dan Betul'? Apa yang dapat kita perhatikan polis hanya menjalankan kerja-kerja menghalang demonstrasi, menangkap pendemonstrasi dan banyak perkara kecil yang tidak penting mengikut telunjuk PM.
Dalam masa yang sama kes-kes jenayah yang berlambak dibiarkan berleluasa dan bertimbun tiada jalan keluar dan penyelesaiannya. Apakah ini yang ingin kita lihat berlaku dalam negara yang kita sayangi berlaku keruntuhan akhlak, maksiat bermaharajalela, jenayah berleluasa dan pelbagai lagi masalah yang melanda negara. Semua komponen yang ada di Malaysia seolah-olah hanya mengikut arahan dari PM semata-mata. Kalau PM kata tangkap, tangkap. Kalau PM kata sembur, sembur.

Utusan Malaysia hari ini (14 Januari 2008) mencanangkan berita mengenai pujian kerajaan Sepanyol terhadap Malaysia yang mampu memajukan negara walaupun dalam keadaan masyarakat majmuk berbilang kaum. Hidup dalam keadaan aman dan harmonis. Kata pemberita tersebut. Namun hakikatnya itu hanyalah permainan media semata-mata dengan menunjukkan luaran negara yang membangun dan maju. Akan tetapi hakikat yang berlaku terpendam pelbagai konflik jenayah, akhlak dan sebagainya yang sepatutnya diselesaikan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri merangkap Perdana Menteri itu sendiri.

Oleh yang demikian apakah tindakan kita selaku mata dan telinga bagi kepimpinan negara yang kita cintai? Adakah kita hanya mampu melihat dan bersuara lantang dalam masa yang sama masih membiarkan jenayah terbesar dengan membiarkan kepimpinan yang tunggang langgang ini terus menerajui negara? Sedangkan nasihat dan pandangan ulama tidak diendahkan apatah lagi kalam rakyat biasa seperti kita. Bersama kita lakukan perubahan untuk masa hadapan negara dan ISLAM yang lebih gemilang.
Usah disempitkan pemikiran kita dengan tanggapan sesetengah pihak yang tidak ingin mencampuri langsung politik dalam kehidupannya. Memang diakui politik yang wujud sekarang disandarkan sebagai politik demokrasi yang kotor. Jadi apakah kita tega melihat negara yang kita cintai ini terus dikotori dengan najis-najis yang akan mencemarkan nama baik ISLAM itu sendiri? Ingatlah di akhirat kelak ALLAH akan mempersoalkan setiap hambaNya mengenai setiap apa yang berlaku. Mengapakah engkau tidak membantu membersihkan agamaKu yang engkau sendiri ketahui telah dicemari?

Apakah kita akan menjawab bahawa tidak ingin masuk campur dengan kekotoran yang wujud itu? Semestinya tidak dan seandainya itu jawapannya maka nantikanlah balasan yang setimpal dengan keendahan yang kita lakukan. Kecuali selepas kita berusaha untuk mengubah kekotoran itu lantaran diabaikan usaha tersebut. Maka akan dikira sebagai satu amal jihad kerana memperjuangkan kalimah ALLAH.

Oleh itu, ayuh bersama kita bangkit melakukan perubahan untuk mengembalikan kegemilangan ISLAM dan membersihkan semula najis yang terpalit dikain ISLAM kerana menganggap ISLAM dan politik itu adalah sesuatu yang berasingan.
Ambillah cakna dan ruang untuk kita menjadikan ISLAM sebagai jalan hidup yang sebenar sebagaimana keharmonian yang tercapai ketika pemerintahan Rasulullah S.A.W, Khalifah Ar-Rasyidin dan seterusnya seluruh pemerintahan khilafah-khilafah ISLAMIYAH yang berikutnya.

Kita lihat kegemilangan ISLAM ketika itu begitu membanggakan bukan dengan kemajuan pembangunan akan tetapi ketinggian akhlak para pemimpinnya dalam memimpin negara sehingga ke mercu kejayaan.
Mari membangun bersama ISLAM dengan memberikan peluang dan laluan kepada ISLAM yang sebenar memerintah negara. Selepas itu bergantung pada kita untuk melakukan perbandingan dalam menentukan pemerintahan tersebut sama ada mengikut acuan ISLAM atau sebaliknya. Pemerintahan yang dimaksudkan adalah sebagaimana Rasulullah S.A.W dan pemerintahan Khilafah ISLAMIYAH selepasnya dengan mencedok sebanyakmana manhaj yang digunakan sehingga ISLAM pada ketika itu dipandang tinggi di mata dunia.



Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: