Video Klip Pilihan

Tuesday, January 22, 2008

.:: Sekadar Ceritera Hati ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Suasana sejuk pada hari ini ditambah dengan kekekalabuan langit tidak seperti hari-hari yang biasa. Dihiasi dengan rintikan hujan rerenyai menambahkan kesejukan pada hari ini semenjak malam kelmarin. Keadaan tersebut seolah-olah memahami situasi diri yang seakan jatuh ke longkang kemudian ditimpa tangga pula. Mungkinkah ini balasan untukku atas dosa semalam yang ku lakukan? Entahlah sememangnya kalian tidak akan memahami akan penderitaan diri ini. Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahuinya.

Kesejukan pada tahun ini dirasakan sungguh berlainan. Kelainan ini dirasakan oleh diriku bahkan oleh sahabat-sahabat veteran yang lain. Lainnya kesejukan pada tahun ini suhunya sehingga mencecah 4 darjah berdasarkan statistik kaji cuaca dunia melalui internet. Antara bukti untuk menunjukkan sejuknya pada pada tahun ini sehinggakan berasap mulut bukan disebabkan merokok. Fenomena ini berlaku tidak kiralah sama ada ketika bercakap bahkan ketika menghembuskan nafas tanpa mengira tempat. Semoga dijauhkan dari sebarang penyakit yang berkait dengan musim sejuk yang boleh membahayakan diri kita semua.

Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Bukan kehendak hati ini ingin berahsia dari kalian semua dengan berdiam diri tidak ingin berkongsi masalah yang terpendam. Akan tetapi masalah ini biarlah ku selesaikan secara total terhadap Rabbul Izzati kerana ianya melibatkan hubungan hamba dan Penciptanya. Maka penyelesaiannya tidak lain melainkan dengan cara ini. Masih belum sampai masa untuk ku meluahkan rasa yang terpendam sesama manusia memandangkan ianya adalah sesuatu yang penuh dengan cacamerba.

Hari ini entah kenapa aku rasakan begitu tertekan dengan beberapa masalah yang melanda diriku ini. Sepatutnya bagi mereka yang semakin hampir berakhirnya hari kebebasan dari cengkaman imtihan, akan merasakan hari kemerdekaan yang menggembirakan sesiapa sahaja. Akan tetapi berbeza bagi diriku ini. Semakin hampirnya hari yang dinanti-nantikan itu semakin berkecamuk pula.


Ya Allah, sesungguhnya hambaMu ini merasa berdosa padaMu kerana melakukan maksiat kepadaMu. Walaupun bukan maksiat yang besar pada pandangan manusia akan tetapi aku merasakan ianya cukup membuatkan diriku tidak tenteram. Ya Allah, Engkau campakkanlah kedalam hatiku ini ketenangan yang bisa menenangkan jiwa dan hatiku yang semakin sesak dengan pelbagai tribulasi yang mendatang.

************************

10 Muharam 1429 | 18 Januari 2008 | Jumaat

Berpuasa pada hari ini begitu menyeronokkan tidak seperti 10 Muharam yang sebelumnya. Aku merasakan begitu tenang seketika biah solehah yang menarik hati ini untuk lebih mendekatkan diri ini kepadaMu dengan melakukan ketaatan. Walaupun pada mulanya aku seolah-olah merasakan 10 Muharam sama seperti hari yang lain. Apa yang aku rasakan berpuasa pada hari tersebut seperti berpuasa pada bulan Ramadhan.

Walaupun terasa penat tapi dapat jua kami gagahkan untuk menghabisi puasa 'asyura yang begitu banyak fadhilatnya. Tapi bukan itu yang ku cari pada hari terbut akan tetapi yang aku selami pada hari ini adalah sebuah tarbiyah dan didikan yang mampu mendidik nafsu, diri dan keseluruhan hidupku agar sentiasa berlandaskan syariatMu. Semoga mendapat pimpinanMu hendaknya.

Suasana yang begitu menggembirakanku dan beberapa orang sahabatku ketika mana kami berbuka puasa di Rumah Johor Seksyen 8, Madinat Nasr, Kaherah. Rasanya meraka yang berada di Perlembahan Nil ini cukup arif dengan Rumah Johor walaupun cukup terpencil berbanding dengan rumah-rumah negeri lain. Lebih-lebih lagi ianya merupakan kali pertama aku menyambut hari yang penuh dengan kelebihan ini di hostel pelajar-pelajar Johor di Mesir ini.

Sementara menantikan Maghrib aku dan sahabat-sahabat yang lain pening juga memikirkan apakah menu untuk kami berbuka puasa pada hari ini? Seketika ketika semakin hampir azan berkumandang, maka datanglah sebuah hidangan dari bumi. Biasa sebut dari langit maka tukarlah makanan dari bumi pula. Apa tidaknya, juadah pizza dari Syaqah 7 yang diberikan oleh Ustaz Nordin dan nasi jagung berlaukkan ayam masak merah dimasak oleh Ustaz Hafiz Mansur dari Syaqah 2. Diberikan kepada kami yang berada di sutuh ini. Alhamdulillah, ada insan yang memahami perasaan kami.

Tidak cukup setakat itu sahaja, seusai solat Maghrib, menyusul selepas itu lauk gulai ayam dari Syaqah 1 yang dimasak oleh Ustaz Hairi Hamzah, kemudian diikuti dengan nasi ayam yang disediakan oleh Mohd Ridwan atau lebih dikenali dengan panggilan 'Macha'. Selesai menjamu selera walaupun juadah yang menyusul selepas Maghrib itu tidak dapat dihabiskan, hadir 2 orang sahabat kami dari Tanta menghantar barangan untuk di jual di koperasi BKPJM. Kalendar 2008 yang diilhamkan oleh Ustaz Khairul Anwar Isnin dari Tanta dan belacan. Justeru itu kami mnjemput mereka untuk menghabiskan juadah tersebut.

Kepada sesiapa yang berhajatkan kepada barangan tersebut boleh mendapatkannya di Koperasi Al-Jauhar BKPJM sebelum stok kehabisan!

************************

11 Muharam 1429 | 19 Januari 2008 | Sabtu

Semenjak aku 'menetap sementara' di rumah pelajar-pelajar Johor di Mesir yang kekurangan penduduknya di musim imtihan ini, seketika itulah aku terfikirkan diriku yang sentiasa menerima perlbagai masalah, dugaan dan ujian dari Allah. Sama ada ianya merupakan penghapus dosa-dosaku, atau pembalasan atas segala maksiat yang aku lakukan terhadap Rabbul Izzati, ku harapkan ianya merupakan kedua-duanya sekali yang akhirnya akan membuatkan aku merasa tenang dan sentiasa mampu memberikan muhasabah untuk memperbetulkan diri ini.

Semenjak permergian Bondaku hampir 2 bulan lepas, aku redha dengan apa yang berlaku. Akan tetapi seringkali memikirkan arwah mak aku terfikir kepada siapa lagi untukku berkongsi kasih dan sayang? Siapakah yang mampu untuk memberikan kasih dan sayang untuk diri yang ketandusan kasih sayang mak yang hanya sempatku bersama dengannya untuk seketika cuma setelah berlakunya penceraian antara ke dua ibubapaku? Setelah pemergian abah ketika aku berumur 15 tahun kini aku dikejutkan dengan pemergian mak pula.

Apapun aku redha dengan apa yang berlaku. Seandainya aku pulang ke Malaysia semestinya ramai keluarga angkatku di sana yang sudi mengisi kekosongan kasih sayang itu walaupun tidak serupa dengan kasih dan sayang abah dan mak sendiri. Namun bukan segala itu yang ku harapkan. Selain kasih dan sayangMu Allah, aku juga memerlukan kasih dan sayang dari hamba-hambaMu yang bergelar manusia untuk memberikan ku kekuatan untuk meneruskan hidup ini hingga ke penghujungnya.

Kasih sayang yang mampu mendekatkan diriku ini dengan Mu. Kasih sayang sesama muslim yang semoga akhirnya mempu merealisasikan maksud kalam Nabi SAW " 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada sesiapapun mampu untuk melarikan diri daripada kedahsyatan hari Kiamat kecuali 7 golongan ini dan diantaranya:...... 2 orang yang berkasih sayang (sesama lelaki, sesama perempuan) bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah Taala... ".

Tapi apa yang berlaku di saat dan tika ini, kasih sayang itu disalah tafsir oleh beberapa pihak hingga menyesakkan diri ini dan membuatkan aku terpaksa melakukan perubahan. Ia sememangnya caraku yang menyebabkan beberapa pihak berasa kurang selesa. Untuk itu, aku memohon maaf kepada sesiapa yang merasa rimas dengan tingkah diri ini. Lebih-lebih lagi semenjak kehilangan kedua-dua tongkat untuk menongkat setiap langkah kaki yang aku merasakan laluan di hadapan seakan suram. Tiada penyuntik dikalangan sahabat yang memahami diri yang memerlukan sentuhan kasih sayang.

Sepintas lalu memikirkan masalah yang berkecamuk di otak kepalaku ini, tatkala membasuh pakaian yang selama seminggu ku tinggalkan berlaku satu insiden yang tidak dapat diduga. Telefon mudah alihku secara tidak sengaja terjatuh ke dalam baldi yang berisi air rendaman kopiah. Apa lagi, setelah hampir 15 saat aku menyedari akan hal tersebut lantas aku terus mengangkatnya. Alhamdulillah masih berfungsi lantas aku membuka setiap komponennya untuk dikeringkan. Selepas satu, dua dan tiga masalah menyusul menimpa diri ini.

Mungkin terlalu banyak dosa yang aku lakukan kepada Allah menyebabkan Engkau mengujiku tanpa henti. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku selama ini, kedua ibu bapaku, guru-guruku, masyaikh-masyaikhku dan seluruh kaum muslimin muslimat, mu'minin dan mu'minat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia!! Amin.

************************

12 Muharam 1429 | 20 Januari 2008 | Ahad

Aku semakin kalut dan tidak keruan dengan diri ini. Bukan kerana imtihan akan tetapi kerana keadaan diri yang menekan dan tertekan. Untuk mengatakan lambakan mesyuarat dan kerja yang perlu aku selesaikan seusai
imtihan kelak, tidak rasanya. Lebih-lebih lagi tatkala semakin hampir kepada pengakhiran tanggungjawab terbesarku di sini. Entah apa yang menyempitkan mindaku ini, entahlah. Hanya Allah dan RasulNya jua yang mengetahui dan memahami hati naluri diriku ini.

Semalam setelah aku ditimpa insiden telefon mudah alihku yang 'dimasuki air', aku pun seakan-akan 'dimasuki air' juga. Apa tidaknya, setelah aku mengeringkannya dan cubaan menghidupkannya alhamdulillah berjaya. Akan tetapi masih bermasalah pada keypad yang mana sebahagiannya tidak berfungsi dengan baik. Setelah dinasihati oleh rakan sekamarku supaya mengeringkannya di bawah anginan kipas lantas aku menurutinya. Sementara itu aku menunakan kewajipanku dengan memasak untuk makan tengah hari merangkap makan malam.

Ada ke patut mereka mengatakan apa yang aku lakukan pada hari ini merupakan perkara ajaib dunia yang ke-8 dan ke-9. Setakat yang kita tahu cuma ada 7 perkara ajaib di dunia ni. Yang ke-8 adalah kerana aku memasak. Alasannya kerana aku ni memang susah nak dilihat masuk ke dapur untuk memasak. "Maklumlah orang sibuklah katakan," kata mereka berseleroh. Dan yang ke-9 ialah mengemas selepas memasak semua alatan dapur yang telah digunakan seperti sediakala. Alasannya memang susah nak tengok sesiapa yang memasak kemudian akan mengemas seperti sediakala. Aku memang orang yang tak suka besepah dan berserabut.

Bersepah macam tongkang terbalik dah macam sinonim bagi diri mereka. Alasan kerana imtihan rasanya tidak munasabah kerana sekiranya selain waktu
imtihan pun sama keadaannya. Entahlah, tak berani nak komen panjang lebar. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah diri mereka.

Beralih kepada musibah yang melanda terhadap telefon mudah alihku tadi. Setelah keberadaan aku di Rumah Johor ianya masih tidak berfungsi. Namun, setelah aku mengeringkannya di bawah anginan kipas. Kerana kegeraman yang teramat sangat lalu ku hentak ke meja, ke dinding lantas aku sambungkannya dengan pengecas bateri. Alhamdulillah kembali berfungsi seperti biasa. Moralnya jangan cuba-cuba untuk membawa bersama telefon mudah alih ke dalam tandas untuk mengelakkan perkara yang tidak diigini berlaku. Cukuplah bersembang, ber 'sms' dan ber'chatting' di luar tandas.

Esok aku akan menghadapi
imtihan untuk madah ke-2 terakhir bagi imtihan bertulis, madah Tafsir Maudhui. Apa yang aku baca seolah-olah berterbangan di awangan dibawa angin lalu, angin musim sejuk yang teramat sangat di waktu ini. Entahlah kenapa pun aku sendiri tak tahu. Dalam masa yang sama sahabat-sahabatku suka menyakat dan mengusik diri ini. Kesian 'dia' disebabkan aku dia berasa bersalah untuk menganggap aku seperti sahabat-sahabatnya yang lain ditambah lagi dengan usikan mereka.

Kerana aku menganggap dia adik dan memanggil dia adik, lantas dia merasakan seolah-olah terdapat satu tembok pemisah yang menghalang antara dia dan aku berbual dan bersembang seperti orang biasa. Aku bukannya ingin mengongkong hidupnya. Sekadar ingin berkongsi suka dan duka. Sepanjang hidup aku tiada istilah sahabat sejati yang sentiasa menjadi pendokong dan penguat semangat. Maka mereka yang ku anggap sebagai adik adalah sesiapa sahaja yang lebih muda dari aku sebagai berkongsi suka duka.

Dan di sini aku juga ingin memohon maaf daripada kalian semua yang merasa kurang selesa dengan panggilan tersebut. Sekiranya kalian berterus terang merasa kurang selesa langsung memberitahuku yang kalian tidak menyukainya InsyaAllah aku tidak akan melakukannya lagi. Maklumlah aku ni anak bongsu dan semenjak aku kecil lagi aku kurang kasih sayang daripada keluarga. Yang aku harapkan adalah dari sahabat-sahabat di sekolah sebagai teman dan adik-adikku menghadapi suka duka lebih-lebih lagi selepas pemergian insan-insan tersayang.

Itu semuanya tidak lain adalah semata-mata untuk menjalinkan dan menguatkan tali persaudaraan yang lebih erat kerana aku lihat ianya mampu menambahkan kemesraan sesama muslim diantara seorang abang dan adik. Usah difikirkan sesuatu yang menyalahi ISLAM atas apa yang aku lakukan. Terpulang kepada kalian semua menafsirkan tindakanku ini. Apa yang penting semua yang aku lakukan ini adalah semata-mata kerana Allah, mengharapkan mardhatillah.

Walaupun pelbagai masalah yang menghimpit diriku ini, namun aku gagahi jua diri ini untuk memahami setiap perkataan dan maksud yang tertulis di dalam kitab tersebut sekurang-kurangnya mampu memberikanku gambaran untuk menjawab soalan yang akan dikemukakan esok di medan imtihan
.

Sebelum melelapkan mata aku terfikir siapa Cik Peah yang dimaksudkan oleh kakakku di dalam mesej pesanan ringkasnya yang baru ku terima. Beliau yang dimaksudkan, semalam baru sahaja selamat bertemu Allah. Siapapun beliau semoga arawh selamat di 'sana' dan ditempatkan bersama-sama mereka yang solihin, para syuhada' dan anbia'. Amin Ya Rabb.

Ya Allah, Engkau permudahkanlah urusanku dan sinarilah setiap langkahku agar segalanya sentiasa dikira sebagai ibadah di sisiMu!!

************************

13 Muharam 1429 | 21Januari 2008 | Isnin

Hari ini aku akan menghadapi imtihan untuk madah ke-2 terakhir bagi semester ini. Sepanjang perjalanan menuju ke Universiti Al-Azhar, aku tidak dapat menumpukan pembacaan dengan sebaiknya. Entahlah aku sendiri tidak faham tentang diri ku ini. Apapun aku berharap Allah jualah yang mampu menenangkan kalbuku ini kerana dialah yang memgang setiap kalbu insani dan mampu membolak-balikkan setiap kalbu itu mengikut kehendaknya. Lebih-lebih lagi sebentar lagi aku akan menghadapi imtihan yang bakal menentukan masa hadapanku dan ISLAM kelak.

Di sepanjang 7 madah yang terlalu berlalu, tidak sah kalau aku tidak singgah dan melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid dan Dhuha mohon dipermudahkan kami dan diberikan kejayaan. Akan tetapi hari ini aku lewat sampai membuatkan aku tidak sempat untuk singgah bermunajat kepada Allah sebelum berhadapan dengan imtihan. Namun lidahku tidak lekang berzikir dan memohon nusrah daripada Allah untuk memahami ilmu Allah yang berharga ini.

Alhamdulillah, tatkala berhadapan dengan soalan yang diedarkan aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana memudahkan aku menjawab tanpa sebarang masalah. Semoga diberikan kejayaan dan memberikan kelapangan kepada doktor yang menanda kertas kami agar kami diadili sesuai dengan kehendak soalan tersebut. Belum pun selesai 3 jam masa yang diperuntukkan, lantas aku menghantar kertas jawapan kepada murakib yang menjaga dewan imtihan kami.

Menjadi kebiasaan kepada kami yang selesai lebih awal akan terus menghantarnya. Hantar lebih awal mempunyai 2 kemungkinan sama ada selesai menjawab semua soalan dengan sempurna ataupun sudah kehabisan idea mencurahkan jawapan yang hendak diinginkan. Alhamdulillah kebanyakan imtihan yang ku lalui keseluruhannya dijawab dengan sempurna kecuali satu kertas yang padanya aku tidak dapat menjawab soalan kecil yang memeningkan kepalaku ketika madah Lughah Arabiah|Adab Wa Nusus. Apapun aku sudahpun berusaha semampu yang boleh dan selebihnya aku bertawakal kepadaNya.

Selesai menghantar kertas soalan tersebut aku berangkat pulang menuju ke Rumah Johor. Entah kenapa aku keberatan untuk pulang ke rumah sewaku pasca aku memaklumkan kepada mereka bahawa aku akan berpindah pada bulan hadapan ke Rumah Johor kerana masalah kewangan yang ku hadapi. Walaupun agak berat untuk ku melangkah meninggalkan kenangan selama setahun di sana akan tetapi aku tidak ingin menyusahkan diriku. Untuk sementara waktu, motto Ustaz Akhmal Ali " Biar hidup kita susah, jangan menyusahkan orang" ku letakkan tepi dan ku fikirkan "Jangan hidup aku susah, tapi mudahkan hidupkan orang".

Ya, aku perlu lebih bersemangat menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku dan bakal menyusul. Ianya adalah tanda kasih dan sayang Allah pada hamba-hambaNya sebagaimana yang dilalui oleh sahabat Nabi SAW, Saidina Umar Al-Khattab R.A yang merasakan seolah-olah Allah tidak menyayanginya seandainya beliau tidak diuji walaupun sehari. Bagaimanakah situasi kita seandainya tidak didatangkan dengan sebarang ujian. "Celaka betul la, bodoh betul la, sengal, bengong" dan berbagai lagi istilah maki hamun menandakan ketidak sabaran pada diri manusia.

Ketika dalam perjalanan pulang tergerak aku untuk singgah mengambil baju yang telah siap dijahit butangnya. Baju penasihat yang dibuat khas untuk penasihat BKPJM. "Rasanya tiada lagi badan anak negeri dan dewan perwakilan mahasiswa/mahasiswi yang menyediakan pakaian yang khusus untuk para penasihat. Apatah lagi PMRAM". Detik di hati ku berseleroh. Baju yang menarik warnanya dan sekurang-kurangnya boleh menambahkan koleksi pakaianku walaupun masih belum dilangsaikan bayarannya.

Selesai mengambil baju tersebut terus aku menuju ke perhentian bas menunggu bas menuju ke Seksyen 8, Rumah Johor. Ketika menunggu bas aku terjumpa seorang sahabat dari Sarawak yang kerap aku jumpa tetapi terlupa untuk menanyakan namanya. Apa yang mendatangkan tanda soal pada diri ini, dia mengatakan aku semakin berisi "Kau dah kahwin ke? Berisi badan kau sekarang?" soalnya berseleroh.

Aku apa lagi menafikan dengan selamba dan memberitahunya tunggu selesai belajar di tahun akhir ini. InsyaAllah akan datang sampailah kad jemputan. Sibuk bercerita tentang nikah, tunang aku pun dah sibuk bertanya tentang hari bahagia tersebut setiap kali menghantar pesanan ringkas pasca bertanya khabar. Bahkan dengan tidak sabarnya berharap semoga dinikahkan segera mungkin pada akhir tahun 2009 selepas aku tamat pengajian. Aku bukannya apa bila dah balik Malaysia nak kena fikir kerja, kumpul duit barulah fikir nak kahwin. Semoga dipermudahkan segala urusan.

************************

14 Muharam 1429 | 22 Januari 2008 | Selasa

Hari ini aku merasakan seakan seisi dunia membenciku. Entah mengapa pun aku pun tidak dapat mencari jawapannya. Bilakah agaknya aku akan tenang setenang air di kali. Bukan seumpama bena yang melanda beberapa negeri di Malaysia di kala ini. Manakala di negara-negara eropah dan negara di timur tengah pula dilanda kesejukan yang teramat sangat bukan seperti sejuk sebelumnya. Inilah petanda yang menunjukkan dunia semakin hampir ke penghujungnya. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di sana sini cukup memberikan peringatan kepada mereka-mereka kuat keimanannya kepada Allah.

Semakin kuat diri ini memikirkan tentang hampirnya hari yang bakal menemui semua makhluk seluruhnya, maka semakin berkecamuklah minda ini memutar sekian banyak dosa semalam yang melanda diri ini. Jangan salah faham dengan kenyataan yang ku maksudkan di sini bukan bermaksud aku seolah-olah telah melakukan dosa yang besar. Aku masih waras dan masih mampu membezakan antara maksiat dan kebaikan. Cuma semangnya manusia biasa seperti kita semua tidak akan terlepas dari dosa-dosa kecil yang tidak mampu untuk ditangkisi.

Maka sekuat itulah diri ini semakin merintih menangisi setiap dosa semalam yang berlaku tanpa disedari dan disedari kerana keangkuhan diri. Apakah masih ada ruang bagiku untuk kembali kepadaNya? Jawapannya "Ya, masih ada peluang untuk kembali kepadaNya lantas memohon keampunan kepadanya semoga diampuni dan diterima taubat hamba ini. Selagi dunia belum berakhir, selagi matahari belum terbit dari barat, selagi itulah pintu taubat masih terbuka luas kepada semua manusia untuk kembali ke jalan yang sebenar".

Ya, ku kuatkan semangat untuk meneruskan setiap langkah menuju ke gerbang redhaNya. Sehingga ku dapati ku berada di landasan yang sebenarnya. Dan aku berharap semoga kalian semua juga sentiasa melakukan dan mengharapkan perkara yang sama. Semoga diterima setiap amalan yang dilakukan disusuli dengan helaan zikrullah yang berterusan tanpa jemu memuji Allah Rabul Izzati.

Persediaan untukku menghadapi madah terakhir hari Khamis ini seolah-olah di awang-awangan. Entahlah. Mungkin masih mencari ketenangan yang abadi. Yang masih belum tersemat kemas di dada dan sanubariku ini. Walaupun diri ini sudahpun berada di biah yang Islamik akan tetapi diri ini sentiasa dihantui dengan bermacam-macam perkara yang menganggu fikiran. Berkecamuk, rawak dirasakan dicampak ke dalam gaung yang dalam. Diri ini masih bertaraf manusia biasa memerlukan segenap penjuru tarbiyah untuk menguatkan keimanan dan ketakwaan ini. Seterusnya untuk memimpin keluarga, masyarakat dan negara ke arah biah yang Islamik.

Adakah diri ini telahpun bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut? Aku seolah-olah merasakan terlalu berat untuk memikulnya dalam keadaan diri ini masih kosong dengan keimanan yang teguh dalam memimpin diri apatah lagi untuk memimpin mereka yang semakin jauh dari agama. Ya Allah, bantulah aku untuk memimpin nafsuku ke arah yang Engkau redhai. KepadaMu aku berserah dan kepadamu jua aku memohon pertolongan. Engkaulah yang memahami, Maha Mendengar setiap rintihan hamba-hambaNya lebih-lebih lagi hambaMu yang lemah ini.

Ketegangan perasaan yang ku rasakan pada hari ini membuatkan segalanya serba tak kena. Alhamdulillah kerana aku masih mampu memberikan sepenuh perhatian ketika menghadapMu. Walaupun di sana aku masih mencari sinar dan ketenangan yang abadi dengan petunjuk dan nusrahMu Ya Rabb.

Kepada kalian semua yang sudi membaca setiap kalimah karangan ini yang menggambarkan luahan kalbuku. Usah ditanyakan "apakah masalah yang menimpa? Enta ada buat salah ke? Apa salahnya?" dan pelbagai soalan yang aku pasti bakal ditanya bertalu-talu. Apa yang ku harap anda semua dapat memahami situasi diri ini dan mendoakan kesejahteraan diri ini dalam melalui setiap detik kehidupan mendatang yang masih panjang dan tidak jelas keadaanya. Biasalah, di musim imtihan ini sememangnya pebagai ujian akan diturunkan kepada hamba-hambaNya untuk menguji keimanan kepada Allah.

Semoga diberikan kekuatan untuk menghadapi semua itu dan meneruskannya cita-cita menggapai cinta yang satu menjadi pejuang teragung di sisi Allah. Ya Allah, Engkau campakkanlah keinsafan di kalbu-kalbu kami semoga tetap setia bersamaMu dan janganlah Engkau bolak-balikkan kalbu kami mencari cinta selainMu.

Ku padamkan segala kisah semalam yang penuh dengan permainan dan dusta untuk mengharapkan sinar rahmat dan taufikMu. Ku serahkan segalanya milikMu hatta diriku ini. Walaupun sememangnya kadangkala segalanya itu seolah-olah bermain di mulut sahaja. Seumpama mengatakan sesuatu yang baik kepada orang lain akan tetapi diri sendiri tidak melakukannya. Semoga dijauhkan dari murka Allah terhadap mereka yang tidak melaksanakan akan apa yang mereka katakan. Sesungguhnya murka Allah itu amatlah digeruni dan azabnya amatlah pedih. Na'uzu billahi min zalik.

Frasa kata :

  • imtihan : peperiksaan, ujian.
  • tarbiyah : didikan, tunjuk ajar.
  • kalbu : hati.
  • nusrah : pertolongan.
  • masyayikh : sheikh-sheikh yang tinggi ilmunya.
  • cacamerba : kalut, tidak keruan.
  • na'uzu billahi min zalik : Moga kita dijauhkan dari perkara itu.
  • biah : suasana, keadaan, situasi.
  • pasca : selepas, setelah.
Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: