Video Klip Pilihan

Saturday, January 05, 2008

.:: Sunnah Yang Ditinggalkan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekian lama menyepi tanpa sebarang entri untuk dipertontonkan, terpanggil hati ini untuk berkongsi satu lagi ilmu yang ku perolehi sepanjang pengamalanku terhadap amalan 'Insan Teragung' sepanjang zaman ini. Walaupun masih berbaki 7 subjek untuk peperiksaan bertulis dan ditambah peperiksaan lisan untuk subjek khitobah yang akan berakhir sekitar awal Februari. Namun kerana desakan untuk tidak ingin mempersia-siakan ilmu yang diterima untuk dikongsikan bersama-sama kalian semua sebagaimana yang dituntut oleh agama. Puji dan syukur ku panjatkan ke hadrat Ilahi atas kesempatan dan keizinan yang dianugerahkan ini. TanpaMu KASIH ku tak berdaya mengorak sebarang kalimah. Semoga diberi kekuatan dalam menjalani dugaan yang datang tanpa disangka-sangka.

Pada Jumaat lepas, tatkala mendengar khutbah di Masjid Syarbini, Madinat Nasr, Kaherah merupakan masjid pilihanku menunaikan solat Jumaat kerana penyampaian khutbah yang sampaikan menarik minat dengan ulasan dan kupasan tajuk yang dibincangkan sangat mendalam. Dalam masa yang sama didatangkan hujjah dan bukti daripada sumber Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW) mencapah minda sesiapa yang mendengarnya. Dan yang paling utama mawujudkan satu momentum kefahaman yang tinggi adalah kerana khatib yang menyampaikan khutbah tersebut menyampaikannya dengan menggunakan Bahasa Arab Fushah bukan bahasa perbualan seharian mereka. Sedikit sebanyak mengingatkan kembali perkataan dan tatabahasa Arab yang ku pelajari selama ini selain menambahkan ilmu dan thaqafah.

Berdasarkan tajuk di atas, semestinya kalian faham apa yang ku maksudkan. Umat ISLAM seluruhnya mengetahui perkara ini cuma perlaksanaan dan pemahaman setakat mana amalan Sunnah Rasulullah (SAW) yang terdiri daripada perbuatan, percakapan, pendirian, penampilan mahupun peribadi Baginda sendiri. Sesungguhnya setiap amalan yang ditinggalkan oleh Baginda tidaklah kecuali di sana ada tujuan dan hikmah yang tersendiri. Sebagai contoh amalan menghisap hujung jari setelah selesai makan samada dengan menggunakan tangan ataupun tidak bertujuan untuk mengeluarkan enzim-enzim pelincir untuk menghadam makanan yang telah dimakan. Ini terbukti selepas dikaji oleh orang barat mengenai amalan ini. Sedangkan orang barat yang memusuhi dan berusaha untuk memusnahkan ISLAM dan umatnya mengetahui disamping mengkaji bahkan mengamalkannya apatah lagi kita yang lebih aula sebagai umat Baginda (SAW).

Apa yang boleh dikongsi bersama kalian melalui khutbah Jumaat tersebut, menurut Abdullah bin Sahl, beliau mengatakan : 'Tanda orang yang mencintai ALLAH adalah dia mencintai Al-Quran, tanda orang yang mencintai Al-Quran adalah dia mencintai Rasulullah(SAW), tanda orang yang mencintai Rasulullah (SAW) adalah dia mencintai Sunnah Baginda. Tanda orang yang mencintai ALLAH, Al-Quran, Rasulullah (SAW), Sunnahnya adalah mencintai Akhirat'. Betapa besar nilai Sunnah Baginda sehingga menjadi salah satu wasilah untuk kita sampai kepada Akhirat. Kerana apa? Kerana di situ terdapat pelbagai cara untuk kita sampai ke 'sana' dengan tunjuk ajar melalui Sunnah Baginda.


Ulama' tersohor, Imam Auza'i juga mengatakan bahawa untuk menjadi manusia yang paling dicintai di akhir zaman tidak boleh lari dari 5 perkara yang menjadi amalan para Sahabat Baginda (SAW) dan para Tabi' Tabi'in selepasnya iaitu :

  1. Melazimi solat berjamaah.
  2. Mengamalkan Sunnah Rasulullah (SAW).
  3. Membaca Al-Quran dengan tartil.
  4. Mengimarahkan masjid.
  5. Berjihad di jalan Allah.
Melihat kepada perkara yang disebut oleh Imam Auza'i kesemuanya sudah termasuk daripada amalan Sunnah Baginda. Untuk menggariskan antara amalan-amalan sunnah yang Baginda tinggalkan sememangnya banyak sepanjang hidup baginda dan perjalanan para sahabat yang sentiasa mengikuti segala apa yang Rasulullah (SAW) sehinggalah sampai pada kita hari ini. Namun sejauh mana pemahaman dan ikutan kita terhadap kepentingan amalan Sunnah Rasulullah (SAW) ini dalam kehidupan seharian kita dari kita celik mata dengan membaca doa sehinggalah kita pejamkan mata dengan adab dan tertib cara Rasulullah(SAW). Andai dibandingkan Rasulullah (SAW) dengan tokoh-tokoh dan nama tersohor lainnya di dunia ini sememangnya tiada yang mempunyai cara hidup ikutan dari segenap kehidupan seumpama Baginda (SAW).

Antara amalan Sunnah Rasulullah (SAW) yang boleh selalu saya amalkan untuk dikongsi bersama seterusnya diamalkan bersama dan disebarkan. Antaranya :
  • Membaca doa pada permulaan setiap perkara yang dilakukan sekurang-kurangnya membaca 'Bismillahirrahmanirrahim'.
  • Mengambil wudhu' dan sentiasa berada dalam kedaan berwudhu'.
  • Memulakan setiap perkara yang baik dengan bahagian kanan (contohnya memakai baju, kasut, stokin, dsb) dan mengakhirinya dengan bahagian kiri begitu juga sebaliknya bagi perkara yang buruk (contohnya masuk ke tandas, keluar dari rumah, memotong kuku walaupun ada khilaf padanya dsb)
  • Memakai wangi-wangian ketika solat dan solat di awal waktu.
  • Menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas.
  • Ringankan lidah memulakan salam sesama muslim (lelaki-lelaki, perempuan-perempuan) apabila bertemu sambil tersenyum.
  • Menghormati golongan tua, menyayangi danmengasihi golongan muda.
  • Mendoakan yang baik-baik kepada sesiapa sahaja terutamanya sesama muslim dan manakala mereka yang kafir semoga diberikan hidayah oleh ALLAH.
  • Menunjukkan akhlak yang terpuji kepada semua manusia sebagai mana akhlak Rasulullah (SAW).
  • Merendahkan suara apabila bertutur dan jauhi dari menyakiti orang lain.
Ini adalah picisan cuma dari berjuta-juta amalan Sunnah Rasulullah yang semakin ditinggalkan dek kealpaan umat ISLAM akhir zaman yang semakin jauh dari agama. Kebanyakan amalan Sunnah tersebut dapat kita laksanakan berpandukan kepada keserasian suasana dan keadaan tertentu sebagai contoh ketika solat terdapat sunnah yang tertentu, ketika menjadi pemimpin negara, keluarga, ayah, suami keseluruhannya terdapat Sunnah-sunnahnya yang tertentu. Antara sumber rujukan yang boleh didapati dalam kitab Syamail Muhammadiah, kitab-kitab Hadith termasyhur dan sebagainya. Untuk mereka yang berada di Bumi Mesir ini kalian boleh dapatkan sebuah buku bertajuk 'Sunnah Yang Ditinggalkan' karangan Al-Fadhil Ustaz Fadhil Al-Yamani di pejabat PMRAM dan rumah-rumah negeri yang terpilih.

Amalkan Sunnah Rasulullah (SAW), insyaallah hidup akan dipermudahkan segalanya dengan bantuan dari ALLAH kepada sesiapa yang mencintai KekasihNYA. Itulah syarat dan petua untuk mendapat kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Renung-renungkan, amalkan dan sebarkan kepada saudara-saudara seISLAM yang lain. Semoga bermanfaat untuk panduan kita bersama.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: