Video Klip Pilihan

Tuesday, April 22, 2008

.:: Peliharalah Ia Dengan Sebaik-baiknya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Rehlah Matrouh Siwa ketika penulis (berbaju putih) di tahun 1 bersama Firdauz Husin (tengah) Hasbullah Amat (baju biru) dan Firdaus Ahmad (baju merah)

Manusia tidak terlepas dari melakukan sebarang silap dan salah. Manusia itu juga tidak mampu lari dari kenyataan hidup yang meletakkannya sebagai makhluk yang ALLAH ciptkan dalam keadaan lemah. Disamping itu juga perlu juga bagi setiap manusia menyedari akan realiti kehidupan yang sentiasa mencabar. Tidak dapat tidak sebagai seorang manusia yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan ragam dan kerenahnya. Adakalanya sikapnya menggembirakan, menyedihkan, menggeramkan, menyampah dan adakala juga memualkan. Akan tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan. Itulah lumrah dalam silaturrahim.


Mungkin kalian terasa agak sebal dengan bebelan ini. Namun inilah hakikat yang perlu dihayati bersama dalam konteks hidup bermasyarakat. Perkara ini tidak dapat untuk dihindarkan. Sedangkan suami isteri lidah pun tergigit apatah lagi hidup bersama kawan-kawan serumah. Kenangan di alam persekolahan sesuatu yang amat berharga untuk mematangkan diri supaya menjadikannya sebagai satu memori. Bukan memori picisan akan tetapi ibarat permata yang kelak menjadi lintasan minda untuk diulang dengan suasana berubah.

Nah, inilah tujuan penulis mengutarakan anologi setiap manusia yang sememangnya akan menempuhi suasana ini. Pastinya alam remaja yang penuh memori itu akan berlalu sedikit demi sedikit membawa diri melangkah ke alam dewasa yang memerlukan kematangan yang lebih besar untuk memacu gelombang glokal dan global yang semakin drastik. Maka segalanya itu memerlukan sebuah pemantapan dari pelbagai sudut disamping pengukuhan ukhuwah silaturahim yang menjadi tonggak utama untuk menggalas misi akan datang yang lebih kompleks.


Tatkala itu permainan perasaan bukanlah agenda utama untuk memandu ombak globalisasi yang semakin mengganas. Meskipun pada masa itu kita hampir tertewas dan tersungkur, akan tetapi rajuk dan putus asa bukanlah jalan penyelesainnya. Justeru yang perlu difikirkan adalah jalan terbaik untuk memugar kembali corak pengendalian yang lebih dinamik. Seterusnya menatijahkan implikasi yang gempak demi memastikan wacana dan wahana yang diperjuangkan mampu pergi lebih jauh dan dihayati bersama.


Pasca penjelasan menyuntik semangat menuju kejayaan harapnya sampai kepada sasarannya. Penulis bukanlah fasilitator mahupun motivator yang terbaik dalam memberikan sebuah harapan. Akan tetapi apa yang diharapkan bukan sahaja oleh penulis, bahkan oleh agama yang suci ini terutamanya kepada pendokong yang menyelami setiap dasar perjuangan yang dipelopori oleh para aktivis terdahulu. Usahlah menjadikan jolokan syaitan yang memetik api permusuhan sesama kita sebagai kiblat utama. Hancurkanlah jolokan berbahaya itu dari terus menguasai diri.

Pesan penulis kepada seluruh sahabat penuntut ilmu supaya menjaga nilai persahabatan, ukhuwah, silaturahim dan persaudaraan yang diwujudkan supaya tidak wujud persengketaan yang akhirnya membawa kepada perpecahan. Seterusnya melemahkan institusi kesatuan ukhuwah Islamiah yang seharusnya dipupuk sesama pendokong dakwah Islam sebelum diterjemahkan ke dalam arena masyarakat yang lebih mencabar.


Telah berkata Saidina Umar Al-Khattab RA " Tidak ada satu pun yang paling berharga yang dimiliki oleh seorang insan selepas nikmat Islam selain teman yang soleh. Apabila kamu dapati kewujudan kasih sayang padanya, maka peganglah dia dengan bersungguh-sungguh."


Bahkan seringkali kedengaran bait-bait kalam ilahi dan sentuhan ilham nurani Junjungan Besar SAW yang menekankan ukhuwah Islamiah. Dek kerana perkara ini yang menjadi teras kesatuan umat Islam seluruhnya tanpa sempadan bangsa mahupun bahasa maka berusahalah para orientalis 'pergerakan pemusnah Islam' di seluruh dunia untuk memecah belahkan umat Islam. Kerana mereka menyedari hakikat seandainya umat Islam bersatu maka mereka akan terkalahkan. Oleh yang demikian itulah mendorong mereka berusaha menghancurkan Islam.

Kembali semula kepada fokus utama penulis mengharapkan supaya seluruh pendokong Islam menggembleng sepenuh tenaga dalam memastikan kesatuan sesama kita mampu menjaminkan sebuah kebersamaan. Bukan itu sahaja, malah ianya memerlukan kesetiaan, keseiaan dan kesekataan dalam semua aspek demi membentuk sebuah implikasi yang berkesan. Semoga impian untuk melihat kesatuan ummah Islam ini bukanlah suatu igauan dan bayangan semata. Bahkan mampu melahirkan produk-produk pejuang yang berkaliber dan berwawasan kelak. Amin.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: