Video Klip Pilihan

Wednesday, April 30, 2008

.:: Rayuan Taubat, Rintihan Keinsafan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Menyentuh hati hingga mampu membuatkan keegoan empangan airmataku merembes keluar. Sukar untuk mengalahkan kekerasan nafsu ini lembut sambil memuhasabahkan diri agar sentiasa bersedia untuk menghadap Rabbul Izzati bila-bila masa. Disaat minda berkecamuk menantikan hari yang bersejarah untuk berhadapan dengan peperiksaan terakhir, terimbas bagaimana pula persediaan diri ini untuk berhadapan denganMu.

Hati ini mula tersentuh apabila mendengar alunan setiap bait lagu bahasa Arab yang dinyanyikan oleh Muhammad Ubaid bertajuk Elaika. Bagi sesiapa yang kurang atau tidak memahaminya pastinya mengundang kebosanan. Akan tetapi penulis yakin, apabila pertama kali kalian mendengarnya pasti akan terasa secubit sentuhan perasaan sehingga mampu melembutkan nafsu ammarah. Penulis mula meminati dan tertarik dengan keindahan lagu ini pasca mendengarnya di Nasyidfm. Terima kasih Nasyidfm.

Untuk makluman kalian semua dan penulis bersangka baik bahawa kalian semua sedia maklum bahawa penulis berjiwa besar dengan alunan irama ketuhanan ini. Lebih-lebih lagi apabila maksud lagu yang cuba disampaikan memberikan 2002 keinsafan bagi meningkatkan keimanan kepada ALLAH dan mentaqarrubkan diri kepadanya.

Secara menyeluruh alunan lagu tersebut mengisahkan rayuan taubat dan rintihan seorang hamba yang sentiasa melakukan dosa, maksiat! Akan tetapi hamba ini sentiasa mengharapkan kepada ALLAH agar mengampunkan titik-titik hitam yang dilakukan itu. Bukankah ENGKAU yang memberikan hidayah dan menunjukkan kepadaku jalan yang ENGKAU redhai? Ya, DIAlah ALLAH yang Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang.

Bukankah ALLAH itu yang akan mengampunkan segala kesalahan yang dilakukan hamba-hambanya? Itu sudah semestinya kerana DIAlah Tuhan sekalian alam tiada yang selain DIA. Bukankah hanya ENGKAU yang layak untuk disayangi tanpa berbelah bahagi? Ya, hanya DIAlah yang layak untuk disayangi dengan sepenuh hati tanpa kompromi. Bahkan kita di ajar untuk menyayangi sesiapa sahaja kerana ALLAH kerana dia yang berhak atas segala-galanya!


Ingatlah wahai saudara-saudaraku yang dirahmati ALLAH sekalian!

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya barangsiapa yang pernah menitiskan air mata di hadapan ALLAH dengan penuh keinsafan mengharapkan keampunan daripadaNYA, kelak dia tidak akan disentuh oleh api neraka!"

Banyak berbicara tidak mendatangkan apa-apa perubahan. Segala muhasabah ini memerlukan kepada satu anjakan untuk melakukan tindakan perubahan secara drastik dengan menghilangkan segala dosa dan kemaksiatan terhadapNya. Terhadap Tuhan yang Maha Suci yang hanya akan menerima hamba-hambaNya yang suci hatinya. Suci jasad mereka. Suci seluruh kehidupan mereka sehinggalah kembali kepada ALLAH dalam keadaan yang penuh suci.

Kata Muthaqqaf:Kepada peminat-peminat alunan irama ketuhanan ini, kalian boleh dengarkan rayuan dan rintihan yang menusuk kalbu ini melalui senarai lagu-lagu pilihan terbaik penulis di label 'Hiburan Mendidik Jiwa' melalui imeem music. Turut dimuatkan beberapa alunan rintihan keinsafan terbaru yang lain antaranya Setiap Kali nyanyian Devotees dan Andaiku Pergi nyanyian Mirwana. Semoga melembutkan hati yang keras lantas memimpin diri menuju ke pintu syurga.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: