Video Klip Pilihan

Wednesday, April 23, 2008

.:: 'Tsunami Senyap' Melanda Dunia! ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ihsan Berita Harian

Sedar atau tidak sedar, akan tetapi inilah hakikat yang perlu ditelan oleh semua umat manusia di hampir seluruh pelusuk dunia. Penderitaan ini bukan sahaja dirasai mereka yang berada di Asia Tenggara termasuklah Malaysia negaraku tercinta. Bahkan kami yang berada di Perlembahan Nil ini juga turut berhadapan dengan krisis kemahalan harga keperluan asas yang melambung tinggi mutakhir ini.

ولنبلونكم بشيء من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين
Al-Baqarah:155
Maksudnya : Dan kami menguji manusia itu dengan sesuatu disekelilingnya daripadanya ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa (orang tersayang) dan kekurangan hasil makanan. Dan berbahagialah orang-orang yang sabar.

Pada peringkat awal, penulis merasakan releven situasi yang tegang ini hanya berlaku di Mesir. Akan tetapi setelah meneliti kenyataan akhbar yang memaparkan fenomena 'tsunami senyap' yang melanda dunia buat kali kedua. Satu tambahan ilmu buat penulis yang sememangnya buta sejarah yang mana akhbar menyatakan bahawa dunia pernah dilanda krisis makanan kali pertama secara besar-besaran sejak Perang Dunia Kedua.

Buat penulis dan sahabat-sahabat yang berada di Mesir turut merasakan sesuatu yang menyesakkan dengan kemahalan beberapa keperluan asas barangan harian. Seumpama beras yang melambung sehingga ke harga 95 Pound Sterling Mesir daripada 65 Pound Sterling Mesir awal tahun ini. Begitu juga miinyak, gula, tepung dan sebagainya yang dilihat meningkat secara drastik.

Dalam masa yang sama, kadar pemberian zakat yang diberikan kepada anak-anak Johor yang dihadkan kepada mereka yang naik tahun 3 dan 4 sahaja masih di tarif yang sama. Menurut maklumat yang diperolehi setelah permohonan untuk dinaikkan tarif pemberian zakat daripada RM3600 kepada RM5000 setahun tidak diterima. Akan tetapi tetap dikekalkan pada kadar tarif yang sama. Mengapa Johor yang menduduki kutipan zakat tertinggi berbanding negeri-negeri lain tidak boleh menaikkan kadar tersebut? Polemik yang ditimbulkan kononnya ingin menyamakan kadar tersebut setaraf dengan Selangor dan negeri-negeri lain sekadar retorik. Dimanakah kebenarannya?


Persoalan tersebut banyak kali ditimbulkan bukan bertujuan untuk menggunakan wang pemberian umat Islam ke arah kemaksiatan. Dalam kegawatan krisis ini, mereka lebih mengutamakan soal 'Iskandar' yang ingin dijadikan mercu kebanggaan Malaysia dengan pelbagai prasarana yang dilihat akan menaikkan taraf kehidupan rakyat. Sedangkan keberjayaan projek ini dilihat meletakkan rakyat Malaysia keseluruhannya tetap berada pada taraf yang statik. Tidak akan berganjak ke mana-mana. Bahkan bertambah parah!

Dangkal untuk membuka topik ini dengan lebih meluas cuma mengharapkan perkara ini mendapat timbangan sewajarnya. Kalau tidak untuk generasi kini,setidak-tidaknya untuk kebaikan generasi adik-adik yang dapat dilihat semakin getir. Sesungguhnya suara ini bukanlah suara protes penulis secara peribadi, akan tetapi mewakili suara anak-anak Malaysia terutamanya anak-anak Johor yang semakin tersepit dengan politik makanan yang semakin menghimpit.

Di sini penulis turut sertakan keratan akhbar Berita Harian hari ini berkaitan 'tsunami senyap' yang melanda dunia kini sebagai tatapan sahabat-sahabat sekalian di kala berhadapan dengan 'tsunami minda' yang bakal menerjah tidak berapa lama lagi. Semoga memberikan kita dedikasi yang lebih bertenaga untuk menghadapi politik makanan yang tampak dangkal ini.

Berjuta-juta kelaparan seluruh dunia kerana kenaikan harga makanan

LONDON: Dunia menghadapi krisis makanan besar-besaran pertama sejak Perang Dunia Kedua yang dilihat melanda rantau Caribbean, Afrika dan Asia.

Masalah sejagat membabitkan peningkatan harga dan kekurangan bekalan makanan kini disifatkan sebagai 'tsunami senyap' kerana boleh menyebabkan penduduk dunia berdepan kelaparan, manakala Bank Pembangunan Asia (ADB) di Singapura semalam, pula menegaskan era harga murah makanan sudah pun berlalu.

Malah, sekurang-kurangnya 37 negara mengalami krisis makanan serius.

Harga makanan meningkat kerana kegunaan sumber yang tertentu dalam biofuel bagi memerangi perubahan cuaca, peningkatan jumlah penduduk, permintaan tinggi negara sedang membangun selain kejadian banjir dan kemarau di negara pengeluar utama makanan seperti Australia dan Afrika.

Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, sekurang-kurangnya 850 juta penduduk dunia kini kelaparan.

"Indeks kesengsaraan dunia kian meningkat," kata Pengarah Eksekutif WFP Josette Sheeran.

"Ia ibarat tsunami senyap yang tiada sempadan dan ramai yang tidak menyedarinya langsung apabila masalah itu berlaku."

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pula mendakwa masalah peningkatan harga makanan sedunia itu turut melenyapkan usaha pembangunan dunia yang diperjuangkan sejak 2001.

"Apa yang berlaku hari ini terbukti melenyapkan usaha tujuh tahun dunia mencapai program Matlamat Pembangunan Alaf Baru," katanya pada satu persidangan pembangunan dan perdagangan PBB di Accra, Ghana.

Beliau merujuk kepada lapan sasaran yang ditetapkan badan dunia itu bagi mempertingkatkan kehidupan penduduk sejagat menjelang 2015.

"Jika tidak ditangani sebaik mungkin, krisis ini boleh mencetuskan gelombang permasalahan lain termasuk menjejaskan pembangunan ekonomi, sosial, politik serta keselamatan di seluruh dunia," tegasnya.

Kebimbangan Ban mengulangi amaran pemimpin institusi kewangan dunia lain termasuk Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ADB sejak beberapa minggu lalu yang menggesa pemimpin negara membangun mengurangkan kemiskinan.

Rusuhan akibat kekurangan makanan dan peningkatan mendadak harga sumber utama itu di beberapa negara termasuk Haiti dan Mesir, membuktikan betapa seriusnya masalah itu.
Di Bangladesh, beribu-ribu pekerja tekstil merusuh dengan anggota keselamatan berikutan kekurangan makanan.

Pada masa sama, kata pakar, berpuluh-puluh ribu penduduk yang kelaparan, terpaksa berbaris panjang di pusat pengagihan makanan PBB di seluruh dunia - dari Amerika Latin, Afrika dan Asia.

Malah di beberapa negara Asia, keadaan itu semakin meruncing sehinggakan di Filipina, bekalan beras terpaksa diiringi tentera.

Sementara itu Perdana Menteri Britain, Gordon Brown semalam mengadakan persidangan yang dihadiri ahli Parlimen, pakar serta ketua agensi makanan PBB bagi merangka pelan tindakan menangani kenaikan harga makanan di seluruh dunia.

"Kini muncul satu lagi krisis dunia iaitu krisis makanan yang boleh yang boleh mengakibatkan kemiskinan di kalangan jutaan penduduk dunia," katanya. -Agensi-

P/S: Berjuang itu tidak pernah duduk senang. Sentiasa berhadapan dengan kesusahan, kepayahan, penderitaan dan pengorbanan untuk melatih diri kuat menghadapi ujian rekaan ALLAH. Sekiranya segala 'audition' mampu diatai dengan kesabaran, ketekunan, ketangkasan dan keikhlasan yang tinggi, maka berbahagialah kamu di 'sana' kelak!!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: