Video Klip Pilihan

Monday, April 28, 2008

.:: Pemimpin Idaman Rakyat ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Kesyukuran yang infiniti dipanjatkan ke hadrat ALLAH atas segala limpah kurnianya terhadap hamba-hambanya ini sehingga mampu meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba kepadaNya. Untuk terus berbakti kepadaNya semata-mata untuk merebut keredhaan yang amat mahal harganya. Sebuah produk bernilai yang tidak boleh diperolehi dengan hanya duduk diam tanpa melakukan sebarang usaha menuju ke arah itu. Maka bersamalah kita mengerah tulang 4 kerat untuk memastikan sasaran dihidupkan ALLAH di muka bumi ini tercapai tujuannya.

Pemimpin merupakan seseorang yang amat dikenali bahkan dihormati oleh seluruh rakyatnya tanpa mengira dari mana kehadirannya. Asal dia telah dipilih oleh rakyat, maka secara automatik juga amanah yang seberat mata memandang terpundak padanya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sukar untuk menyalahkan sepenuh kesilapan akibat kegagalan sesuatu perkara kepada pemimpin seandainya tiada sokongan yang padu dari rakyat meskipun terdapat segelintir yang tidak redha akan perlantikan pemimpin yang menang lebih dari separuh majoriti itu.

Pemimpin itu bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Ianya bukanlah sesuatu kemuliaan yang perlu dijaja akan tetapi apa yang perlu dirasakan adalah pemimpin adalah satu amanah dari ALLAH. Satu bebanan tanggungjawab yang perlu diselesaikan sebaik mungkin dan tidak boleh diambil sambil lewa. Bahkan tercatat sebuah hadith melalui lisan Rasulullah SAW menyebut : "tidak mempunyai iman barangsiapa yang tiada amanah (dalam dirinya)". Beringatlah sebelum kelak dipersoal di hadapan ALLAH kelak.

Malah menjadi kegerunan dan ketakutan bagi sesiapa yang memegang kepimpinan di semua peringkat apabila terdapat dalam hadith lain yang menyatakan mafhumnya : "apabila seseorang menjadi pemimpin maka sebelah kakinya akan berada di syurga dan sebelah lagi kakinya akan berada di neraka. Sekiranya dia mengkhianati amanahnya, maka terhumbanlah dia ke dalam neraka, jika sebaliknya maka terselamatlah dia". Satu lagi peringatan keras untuk dijadikan sebagai kayu pengukur oleh semua yang bergelar pemimpin.

Pemimpin itu meluas kegunaannya untuk menunjukkan bahawa setiap orang itu pemimpin. Ketua, pengerusi, pengarah, exco, ahli jawatankuasa tadbir, ahli jawatankuasa tertinggi, presiden, ketua menteri, perdana menteri dan sultan antara istilah yang membawa tanggungjawab pemimpin. Bahkan dalam sebuah hadith juga Rasulullah SAW menyebut bahawa semua manusia itu adalah pemimpin mengikut keadaan masing-masing. Dari keluarga, persatuan, kelab hinggalah pemimpin negara memikul amanah yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.


Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : "setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab terhadap apa yang berada di bawah naungannya". Melalui hadith tersebut juga mengingatkan bahawa setiap manusia juga dipertanggungjawabkan ke atas diri masing-masing samada memandu diri ke arah kebaikan dengan sebaiknya atau mengkhianati diri sendiri ke arah melakukan maksiat terhadap ALLAH.

Kisah Para Sahabat, Tabiin (Radialluhu Anhum) Jadi Rujukan

Banyak kisah-kisah kepimpinan para Sahabat Nabi SAW dan para Tabiin mampu menjadikan setiap yang bergelar memikirkan seterusnya membandingkan diantara kepimpinan mereka dan kita. Penulis kongsikan kisah hidup pimpinan mereka bersama kalian semua setelah mendengar ceramah forum perdana hal ehwal islam anjuran Jabatan Agama Islam Selangor semalam di Stadium Melawati, Shah Alam.

Menurut sumber yang disampaikan oleh Dato' Ismail Kamus yang terkenal di ceruk Asia Tenggara sehinggakan di Australia. Namun sejak 14 tahun yang lampau beliau telah di'gam' atas sebab-sebab ancaman politik pada ketika itu.

Dikisahkan pada suatu ketika tiba-tiba perut Saidina Umar Al-Khattab berbunyi tanda lapar minta diisi sesuatu. Akan tetapi beliau tidak mahu mengisi perutnya. Bahkan beliau berkata kepada perutnya, "berbunyilah kau sepuas-puasnya, sesungguhnya aku tidak akan mengisi perutku selagi mana masih ada di kalangan anak-anak orang Islam yang tidak makan." Sungguh amanahnya beliau terhadap amanah yang dipikulnya sehinggakan sanggup mengabaikan keperluan diri semata-mata untuk memastikan keperluan rakyatnya terlebih dahulu.


Beliau yang merupakan Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua selepas kewafatan Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan seorang pemimpin Islam yang amat tegas sehinggakan ketika mana penulis berjaulah ke makam-makam para wali di sebuah bukit Mukattam di Mesir turut berkaitan dengan beliau. Diceritakan oleh saudara Hairul Nizam Mat Husain, mantan Presiden PMRAM sesi 2007 mengatakan pernah kaum Nasrani ingin membeli bukit tersebut akan tetapi beliau tidak meluluskan. Kerana beliau terdengar satu kalam Nabi SAW bahawa kelak bukit tersebut akan menjadi pusat persemadian para aulia teragung seperti yang terdapat pada hari ini.

Mesir yang mendapat jolokan bumi para aulia, bumi para Nabi dan sebagainya sememangnya bertepatan sabda Nabi SAW. Sehingga ke hari ini bumi barakah ini masih dipenuhi dengan sinaran ulama dan wali ALLAH yang tidak mampu untuk dikesan. Bahkan kebanyakan ulama dan aulia muktabar kebanyakannya terdapat di Mesir. Sebagai contoh Imam Syafie, Imam Laith, Imam Waki', Imam Aizuddin Abdul Salam yang terkenal dengan gelaran Sultan Ulama, Imam Ibnu Hajar Asqalani, Imam Atoillah Askandari, Imam Abdullah bin Abi Jamrah, Imam Hassan Albanna dan ramai lagi ulama dan aulia tersohor suatu ketika dahulu.

Sehinggakan terdapat satu kalam dari seorang aulia, iaitu Imam Sya'rani yang diberikan kelebihan berjumpa dengan Rasulullah setiap malam mengatakan bahawa Rasulullah SAW memberitahu beliau bahawa di setiap makam para aulia dan ulama itu ALLAH utuskan seorang malaikat untuk mengaminkan doa setiap orang yang bermohon atas ketinggian ilmu yang ada pada melalui mereka untuk sampai kepada ALLAH.

Semoga segala doa-doa kami dimakbulkan ALLAH untuk mengurniakan kejayaan yang cemerlang kepada kami dan seluruh saudara-saudara seIslam dan dipermudahkan segala urusan. Seterusnya menetapkan kami di jalan yang betul untuk terus berada di landasan yang benar dalam mempertahan dan memartabatkan kembali agama Islam yang suci ini.

Manakala dalam kisah tabiin pula banyak boleh diperolehi melalui kisah perjalanan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai seorang pemimpin negara. Ketika mana beliau berada di Baitul Mal bersama-samanya anak yang masih kecil. Lantas anak kecil itu mengambil sebutir kurma lalu menelannya. Setelah menyedari perkara itu, lantas Umar menepuk-nepuk belakang anak kecil itu sehingga terkeluar semua buyir kurma itu. Sambil berkata, "sesungguhnya aku takut untuk mengambil dan menggunakan harta Baitul Mal ini kerana takut ianya akan dipersoal di hadapan ALLAH kepadaku di akhirat kelak."


Cuba kita perhati dan bandingkan diri kita. Adakah antara 2 kisah ini yang telah kita praktikkan terhadap amanah yang telah diberikan? Semoga ianya menjadi muhasabah buat panduan kita semua dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pemimpin yang sebenar-benarnya. Pemimpin idaman rakyat.

Semoga sedikit perkongsian ilmiah dan thaqafah yang penulis ketengahkan mampu memberikan sedikit muhasabah diri kepada setiap individu yang bergelar pemimpin. Terutamanya kepada diri penulis sendiri seterusnya sebagai panduan kalian semua dalam menongkah arus kehidupan yang semakin mencabar.

Dalam leka dan fokus dengan agenda ilmu dalam memburu kejayaan yang gemilang juga merupakan satu amanah dari keluarga dan negara tercinta. Bahkan satu amanah dari ALLAH untuk menjaga dan mempertahankan Islam kelak terpundak pada bahu penuntut-penuntut ilmu agama yang memahami tuntutan ini. Justeru itu ayuhlah sama-sama menyedari hakikat amanah yang amat berat ini sebelum diri berada di tengah-tengah gelanggang masyarakat yang mengharapkan golongan seperti ini untuk memandu mereka.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

infogue said...

Artikel di Blog ini bagus dan berguna bagi para pembaca.Anda bisa lebih mempromosikan artikel anda di Infogue.com dan jadikan artikel anda topik yang terbaik bagi para pembaca di seluruh Indonesia.Telah tersedia plugin/widget.Kirim artikel dan vote yang terintegrasi dengan instalasi mudah dan singkat.Salam Blogger!!!

http://nasional.infogue.com/
http://nasional.infogue.com/pemimpin_idaman_rakyat

Muthaqqaf Azhari said...

syukran atas pengiktirafannya...
haza min fadhli rabbi...
Allah jua yang layak menerima segala pengiktirafan ini... :D