Video Klip Pilihan

Monday, May 26, 2008

|| Amalkan Gaya Hidup Yang Sihat ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Setiap individu yang bernyawa di atas muka bumi ini inginkan kehidupan yang sentiasa ceria dan bahagia. Untuk mengecapi situasi tersebut tidak boleh lari dari kondisi kesihatan yang memuaskan bagi menjamin keceriaan yang berpanjangan. Walaupun hakikatnya sebarang kemungkinan ditimpa penyakit itu pasti wujud di mana-mana.

Islam yang merupakan satu-satunya agama yang menyeluruh merangkumi setiap inci arca kehidupan manusia. Tidak seperti agama lain yang dilihat lebih mementingkan ibadat terhadap Tuhannya sehingga mengakibatkan penganutnya tega memisahkan keutamaan agama dari kehidupan harian mereka. Berbeza dengan Islam yang mencakupi keseluruhannya tanpa tercicir walau seenteng mana sekalipun.

Meskipun ada diantara manusia itu yang melihat kepentingan menjaga kesihatan ini suatu perkara yang remeh tidak perlu untuk diperbahaskan panjang lebar. Apatah lagi realitinya kepentingan menjaga kesihatan ini mengikut keperluan dan kehendak individu masing-masing. Itu adalah pandangan mereka secara peribadi. Bagi penulis dan mungkin kalian mempunyai prioriti yang tersendiri mengenai pengamalan gaya hidup yang sihat.

Seandainya diperhatikan dan dianalisis satu persatu kerenah manusia yang pelbagai kita akan dapati banyak persamaan dan perbezaannya. Sebagai contoh difokuskan kepada 3 golongan untuk mengkaji sejauh mana keberkasanan mengamalkan gaya hidup yang sihat ini. Golongan pertama diklasifikasikan sebagai golongan yang
'sihat' tubuhnya manakala golongan kedua diklasifikasikan sebagai golongan yang 'sedang-sedang' tubuhnya. Dan yang terakhir golongan yang diklasifikasikan sebagai golongan yang 'zuhud' tubuhnya.

Setelah diperhalusi menurut kacamata Muthaqqaf ditambah dengan bantuan maklumat-maklumat tambahan kajian saintis yang penulis perolehi mendapati :


- Golongan yang 'sihat' tubuhnya yang tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat kebanyakannya menghidap penyakit-penyakit yang berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, asma (semput) dan yang sewaktu dengannya. Hanya segelintir sahaja yang 'terselamat'.

- Golongan yang 'sedang-sedang' tubuhnya yang tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat ini juga kemungkinan besar menghidapi penyakit-penyakit golongan pertama tadi akan tetapi agak kurang kerana kebanyakannya mengamalkan gaya hidup yang sihat. Lebih kurang macam penulis. (sambil tersengih)

- Manakala golongan yang 'zuhud' tubuhnya pula tidak terlepas dari penyakit tadi ditambah dengan penyakit osteoporosis dan penyakit yang sewaktu dengannya. (tanya sahabat medik untuk maklumat lebih lanjut)

Di manakah kedudukan anda daripada 3 golongan menurut penilitian penulis di atas? Oleh kerana penulis mengamalkan cara hidup yang sihat terhindar dari penyakit, wabak dan bencana. Penulis berada dikalangan golongan yang kedua, yang 'sedang-sedang' sahaja.

Apakah Gaya Hidup Yang Sihat?

Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa penulis tidak semena-mena menulis bab kesihatan. Sekadar ingin berkongsi ilmu di dada supaya penulis, anda, keluarga, dia dan mereka semua yang kita kasihi sentiasa hidup dalam kesejahteraan dengan penuh ceria. Itulah setiap insan sebagaimana yang penulis nyatakan di awal muqaddimah entri ini. Tiada seorang pun manusia di dunia ini yang suka melihat orang yang tersayang terlantar sakit mewujudkan suasana yang murung dan suram.

Dari awal coretan penulis banyak kali menyatakan gaya hidup yang sihat. Semestinya ramai yang tertanya-tanya apakah gaya hidup yang sihat itu? Untuk maklumat yang lebih lanjut mungkin kalian boleh merujuk secara langsung kepada pakar kesihatan berdekatan anda. Namun begitu penulis akan akan berkongsi sedikit sebanyak berdasarkan ingatan dan pengamalan penulis.

Antara perkara utama yang perlu dijaga adalah dari aspek pemakanan. Pastikan pengambilan makanan adalah seimbang dan memenuhi ISO 9001. Betul ke? Salah tu. Memenuhi susunan piramid makanan yang disusun oleh pakar pemakanan sedunia. Rasanya perkara ini telah pun ditekankan semenjak dibangku sekolah lagi ketika kementerian kesihatan memberikan penerangan mengenai perkara ini. Penulis bersangka baik bahawa kalian semua jelas mengenai perkara ini.

Berkaitan dengan pengambilan makanan ini juga, suka untuk penulis memberikan sedikit cadangan pengamalan yang terbaik untuk kesihatan. Berpandukan rujukan perjalanan 'Insan Teragung' SAW. Antaranya :


- Biasalah, sila basuh tangan anda dari sebarang kotoran.

- Membaca doa sebelum makan. (untuk yang Muslim)

- Makan dengan tangan kanan dengan mengggunakan kelima-lima jari (nasi, mee dan apa jua makanan dalam jisim yang kecil), tiga jari. (cekodok, buah-buahan dan apa jua makanan dala jisim yang besar) Selain itu tiada dalam catatan sejarah.

- Jangan sekalipun makan sambil minum air (bagi mengelakkan perut buncit). Susah sangat minum sebelum makan.

- Digalakkan minum 15-30 minit selepas menikmati makanan yang berat.

- Digalakkan juga makan sambil berbual ketika ketika makanan tidak dikunyah bukan ketika mengunyah makanan untuk membezakan adat makan antara Islam dan Kristian.

- Mengutamakan makanan yang paling dekat dengan tempat kita makan tanpa melangkau jauh ke tempat orang lain. Minta orang yang dekat dengan makanan itu hulurkan makanan tersebut supaya lebih beradab.

- Mengutamakan orang lain untuk memulakan sesi menjamu selera. (orang yang lebih tua, sahabat, adik dan yang seumpama dengannya)

- Pastikan makanan yang dimakan dihabisi tanpa tertinggal sisa-sisa yang masih boleh dimanfaatkan kerana Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, "makanan yang terakhir itu adalah berkat."

- Pujilah makanan yang dihidang sekiranya sedap dan diam lebih baik apabila mendapati makanan itu terdapat kurangnya.

- Berhenti sebelum kenyang, makan sebelum lapar.

- Jangan terus menelentang seusai makan kerana makanan masih belum turun dan hadam dengan sempurna.

- Sekiranya inginkan kecergasan dan kesihatan tubuh badan yang maksimum, elakkan makan berat 3 jam sebelum tidur juga bagi mengelakkan kegemukan.


Itu adalah antara ajaran Rasulullah SAW kepada umatnya apabila berhadapan dengan makanan. Semoga ianya sedikit sebanyak memnambah nilai terhadap amalan kita dari semasa ke semasa. Hari ini lebih baik dari semalam dan moga esok lebih baik dari hari ini. Tekanan ini bukan suatu retorik akan tetapi ianya telah dirakamkan di dalam Al-Quran lalu dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan langkah-langkah yang di atas sebahagiannya.

Selain faktor pengambilan makanan sebagai asas kepada pengaliran darah dan perolehan tenaga yang berterusan, jangan dipandang enteng soal halal haramnya yang amat dititik beratkan oleh Islam supaya darah yang mengalir itu adalah halal dan suci. Halal yang dimaksudkan bukan dari sudut isi kandungannya sahaja, bahkan sumbernya juga amat penting bagi menjamin ketenangan hati dalam melaksanakan ketaatan kepada Rabbul Izzati.

Badan Sihat, Akal Sihat


Seterusnya penulis turut menekankan soal kesihatan badan yang akan membawa kepada kesihatan akal minda seseorang. Dengan sihatnya tubuh badan, maka akan sihatlah akal yang memerlukan sinergi yang penuh bagi menongkah hidup seharian. Gesaan memastikan badan yang sihat ini bukanlah satu budaya baru bahkan ianya turut digesa oleh 'pemimpin terulung' umat Islam mafhumnya : "akal yang sihat terletak pada jisim (tubuh badan) yang sihat."

Justeru itu, tidak boleh tidak bagi seorang muslim itu mengamalkan apa jua senaman yang mampu memberikan kesegaran badan. Antara senaman yang lazim dibuat berjoging, bumping rambo, warm up dan pelbagai bentuk senaman ringan lain yang kalian lebih arif mengenainya. Yang penting, senaman ringan tersebut diamalkan secara istiqamah supaya tumbesaran dan proses pembinaan badan itu mendapat injeksi yang sekata.


Bahkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Fadzilah Kamsah memberitahu dan menggesa setiap jiwa-jiwa manusia supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan senaman setiap hari sebelum atau selepas tidur hanya sekitar 10 minit sahaja. Terutama bagi mereka yang padat dengan urusan kerja seharian. Sekiranya amalan yang sedikit ini dilakukan secara berterusan insyaallah anda akan melihat perubahan pada diri anda!

Implikasi bagi sesiapa yang mengamalkan gaya hidup yang sihat ini mampu memberikan satu tarikan kepada orang disekeliling untuk lebih mendekatinya. Bukan apa, sekadar untuk menjadikan orang disekeliling merasa selesa dengan keceriaan yang terpancar di raut tubuh seseorang. Seterusnya mencipta sebuah ummah Islamiah yang kuat bertenaga fizikal dan mental untuk menghadapi musuh-musuh Islam. Berbanding ummah yang lemah dan sering ditindas tidak disukai Allah. Perkara ini turut mendapat gesaan dari Insan Teragung dalam pesanannya yang bermaksud, "mukmin yang kuat itu disukai dan dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah."

Selain itu juga, amalan tidur yang berlebihan juga perlu dikurangi dengan memastikan masa tidur bagi seorang pejuang dan penuntut ilmu Allah adalah 4 jam sahaja sebagaimana yang diamalkan oleh para ulama tersohor. Perkara ini disebabkan tidur bagi mereka hanyalah syarat untuk merehatkan minda sebentar cuma. Sekitar 5-10 minit bahkan ada yang 10 minit sahaja. Mampukah kita mengamalkan pendekatan mereka? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.
(jangan tepuk kuat sangat nanti sakit, tak pasal-pasal)

Penulis bukanlah pakar kesihatan untuk memberikan satu cadangan yang terbaik. Sebagaimana yang penulis nyatakan sebelum ini sekadar ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang boleh dikaitkan didalam kehidupan seharian tanpa memisahkan antara agama dan kehidupan. Kerana kebaikan yang ada pada agama akan membawa kepada keceriaan dan kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Semoga kita bersama mendapat manfaat dan dapat diamalkan sedikit sebanyak untuk kepentingan masa hadapan yang gemilang.


Kata Muthaqqaf:Selama hampir 4 tahun berada di Mesir ini banyak pengalaman yang ditimba dan banyak perubahan fizikan yang menimpa diri penulis. Sehinggakan ada dikalangan masyarakat tempatan hampir tidak percaya bahawa penulis merupakan warga Malaysia kerana susuk tubuh yang seperti masyarakat tempatan. Bahkan dikalangan sahabat penulis sendiri pernah menggelarkan penulis seperti polis dengan sasanya tubuh ini. Retorik atau realiti? Pastikan kita mengamalkan gaya hidup yang sihat!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

4 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..
best ar rencana pasal kesihatan ni..teruskan menulislah ye=)

Muthaqqaf Azhari said...

Waalaikumussalam...
syukran atas sokongan anda...
insyaallah selagi masih diberikan umur dan ruang oleh Allah saya akan teruskan menulis... :D

nur _fragrant_musk said...

salam'alaik

nice blog

Muthaqqaf Azhari said...

syukran...:)