Video Klip Pilihan

Wednesday, May 14, 2008

.:: Selami Keberkatan Dalam Kehidupan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Selagi roh masih di jasad. Selagi diri masih bernafas. Selagi ingatan masih waras. Maka selagi itu jugalah kita selaku manusia perlu untuk meneruskan kehidupan yang berbaki. Lebih-lebih lagi mereka yang dikurniakan cahaya keimanan dan nikmat keislaman yang tebal di dalam sanubari. Amat perlulah baginya memastikan perjalanan hidupanya sentiasa disinari limpahan keberkatan yang Esa.

Keberkatan merupakan satu elemen yang terpenting dalam menongkah kehidupan di dunia ini. Malahan tidak boleh tidak setiap manusia dari mana agama sekalipun mementingkan keberkatan dalam melayari kehidupan ini. Namun dari segala apa yang dinayatakan tadi, Islam adalah agama yang paling mengutamakan keberkatan ini. Kerana Islam itu sendiri sentiasa menjamin keberkatan faktor ini demi memastikan kesinambungan perjalanan yang lebih bermakna. Ianya bukan komponen premier akan tetapi komponen sekunder sebagai pelengkap.

Seandainya kita menyorot setiap satu kisah perjalanan para kekasih Allah, serta para aulia' yang mengisahkan seribu satu pengajaran penuh dengan sinaran keberkatan. Keberkatan yang dititikberatkan di sini bukan sahaja terhadap Sang Pencipta, Rabbul Izzati selaku puncak segala keberkatan. Malahan keberkatan sesama makhluk juga menjadi keutamaan supaya puncak segala keberkatan itu mampu diperolehi dengan sebaik mungkin.

Sementelahan itu, menerusi penghalisan filem dan drama yang dipaparkan diadaptasi daripada lakonan yang banyak yang mengetengahkan konsep keberkatan yang penulis maksudkan. Walaupun tujuan utama untuk memberikan sejuta pengajaran nilai-nilai murni untuk ikutan masyarakat, dalam masa yang sama ianya menyalahi lunas-lunas yang digariskan oleh Islam itu sendiri. Sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama usul fiqh, 'Tujuan Tidak Menghalalkan Cara'. Matlamatnya murni namun pendekatan yang digunakan tidak kena sehingga sanggup membelakangkan halal haram dalam Islam.

Untuk itu, seharusnya di dalam pembikinan mekanisme pengajaran yang ingin diketengahkan kepada masyarakat sewajarnya mengikut landasan Syariat Islam yang sebenar bukan membelakangkannya dan meletakkan peranan agama itu hanya dalam konteks ibadah semata-mata.

Oleh yang demikian itu, penulis dan beberapa sahabat menyarankan pihak yang mengawal selia agenda pengeluaran filem ini dapat mewujudkan panel penasihat agama untuk memimpin pembawakan sebuah ceritera supaya dipandu mengikut tuntutan Islam. Usah kerana gelojoh untuk menghasilkan filem yang bertaraf antarabangsa dengan mengetepikan tuntutan lunas-lunas Islam yang suci itu.

Mencari Keberkatan Yang Berpanjangan

Di kesempatan ini juga penulis ingin mengambil peluang yang ada untuk mengingatkan kepada diri penulis dan kalian semua yang bakal menerima sejumlah sumbangan zakat. Sumbangan zakat yang diberikan oleh institusi agama Islam negeri masing-masing atas asnaf 'fi sabilillah'. Iaitu menuntut ilmu yang mana merupakan cabang dari asnaf tersebut. Semoga kita bijak membelanjakan wang sumbangan tersebut ke arah yang lebih berkat.

Dengan mengutamakan perkara yang lebih utama daripada perkara utama untuk diselesaikan. Apa yang paling penting adalah mencari keberkatan daripada penyucian harta daripada masyarakat Islam di negeri kita itu. Bagi yang tidak mendapat sumbangan zakat dari negerinya, akan tetapi mereka memperolehi sumbangan zakat di negeri yang lain, cukuplah dengan apa yang diterima.

Perlu diingat bahawa sumbangan zakat tersebut janganlah dibelanjakan dengan berlebihan. Cukuplah dengan apa yang sedia ada. Ingat! bahawa duti zakat itu juga adalah amanah dari mereka yang mengeluarkannya dan kelak akan ditanya oleh Allah ke mana kita membelanjakannya. Oleh itu jadilah orang yang bijak dalam mengolahnya. Jangan kerana rezeki melimpah ruah, maka pada ketika itulah kita akan lihat fenomena 'Orang Kaya Baru' (OKB) dengan pembelian peralatan berteknologi terkini.

Ini hanyalah nasihat peribadi penulis kepada seluruh sahabat tanpa mengkhususkan tempat kejadian. Belanjakan dengan penuh keberkatan samada di dermakan dan disumbangkan kepada yang lebih memerlukan untuk kemaslahatan bersama. Fikirlah sendiri. Masing-masing dah dewasa, dah besar, dah matang. Semoga mendapat keberkatan bukan sahaja oleh diri kita sendiri, bahkan mampu melempiaskan rahmat keberkatan tersebut sehingga kepada orang di sekeliling kita.

Kata Muthaqqaf:Jadilah manusia yang penuh dengan keberkatan dan memberikan manfaat kepada orang lain. Jangan jadi manusia yang penuh dengan cacamerba dan menyusahkan orang lain. Kaf+Ba+Ra+Kaf+Alif+Ta+Nun=KEBERKATAN. Ingat tu, ya anak-anak.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

FiQ OnLinE said...

good ur info!

Muthaqqaf Azhari said...

thanx dude...

haza min fadhli rabbi (semuanya adalah atas limpah rahmat Allah Tuhanku)

:)