Video Klip Pilihan

Thursday, May 15, 2008

.:: Diam Lebih Baik ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Tanpa disedari kadangkala kata-kata yang terkeluar dari mulut mampu mengguris hati orang di sekeliling. Bahkan kata-kata yang tidak dijaga tata susilanya itu juga mampu menyebabkan perpecahan sesama saudara seakidah sehingga meruntuhkan kesatuan ummah Islamiyah.


Lidah merupakan elemen terpenting dalam kehidupan seharian manusia. Lidah merupakan syarat seseorang boleh berkata-kata secara normal dan baik. Seandainya dikerat lidah tersebut maka akan membisu sepanjang hayatnya. Demikian itu membuktikan bahawa lidah merupakan aset terpenting sebagai wasilah untuk menyampaikan sesuatu maklumat dari seseorang kepada yang lain. Tanpa lidah, maka sepilah alam ini tanpa bual bicara, hilai tawa, dan nangis hiba.

Namun di sebalik pro dan kebaikan yang terkandung di dalam kepentingan anggota lisan ini, terselit juga kontra dan keburukan yang mampu mengundang malapetaka yang amat menakutkan. Sekiranya perkara ini tiada satu kesedaran awal dan pendekatan yang serius berlandaskan Quran dan Sunnah maka retaklah kesatuan ummah ini. Perkara ini seolah-olah dipandang sepi oleh golongan yang memikirkan ianya perkara enteng tidak perlu diperbesar-besarkan. Namun dalam Islam lain pula ceritanya.

Kerana Mulut Badan Binasa

Seandainya diamati kata pepatah Melayu di atas, ada benarnya juga. Apa tidaknya, secara realitinya mulut memang jelas memainkan peranan penting dalam membawa agenda komunikasi sesama manusia. Cuma yang perlu dicakna sejauh mana komunikasi yang diperbincang itu benar-benar menepati citarasa Islam. Citarasa yang meliputi nilai-nilai murni dan lunas-lunas Islam dalam berkomunikasi jauh dari sentimen-sentimen yang mengundang perpecahan dan pergaduhan.

Selain itu juga, perlu diletakkan satu garis panduan dalam lapangan 'interaksi insani' ini supaya memelihara perkataan dari sebarang kata-kata yang mampu membangkitkan sentimen perkauman terutama di Malaysia yang terdiri dari masyarakat majmuk. Usah diendahkan peranan dan pendekatan kaum lain selagi mana mereka tidak menyentuh sentimen Islam yang paling utama dan seterusnya sentimen Melayu. Walau apa jua keadaan, Islam mestilah diletakkan di puncak dari perkara-perkara picisan lain yang dilihat lebih membawa kepada perpecahan berbanding sekiranya bersatu di bawah naungan Islam.


Kebenaran pepatah Melayu selaku 'markah tambahan' kepada penjelasan Quran dan Sunnah dalam membawa ummah Islam supaya terus memegang kukuh kesatuan yang terbina. Menjurus kepada pendekatan Melayu ini dirasakan seiring dengan pendekatan Islam yang menyeru penganutnya supaya sentiasa menjaga lidah dari pembohongan, dusta, mengata dan mengumpat orang lain. Amalan-amalan songsang ini sekiranya menjadi tabiat umat Islam, maka akan mencampakkan dirinya ke dalam api neraka Allah yang amat panas.

Islam mengajar orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya untuk menjaga adab-adab pergaulan, mengatakan apa yang hak dan benar yang terbukti sumbernya, mengelakkan mengumpat sesama manusia kerana ianya diibaratkan seolah-olah memakan bangkai saudaranya yang telah mati. Tegakah kita makan bangkai saudara kita sendiri?

Islam juga mengajar umatnya supaya mengotakan apa yang disampaikan apa yang dikatakan. Amat besarlah kemurkaan Allah bagi sesiapa yang tidak mengotakan apa yang telah diperkatakan. Bahkan Islam turut menggesa umatnya mendatangkan setiap hujjah terhadap apa yang dinyatakan bagi mengelakkan perpecahan ummah akibat perbezaan sumber yang menatijahkan keruntuhan institusi kesatuan Islamiah.

Quran Gesa, Sunnah Perjelas

Dalam mengakses kehidupan selaku seorang muslim dari hari ke hari sehinggalah ke akhir hayat tidak boleh lari dari cengkaman moral-moral yang telah disusun oleh Islam. Kerana Islam sahajalah yang dilihat menjamin kemaslahatan ummah sejagat tanpa mengkhususkan untuk satu-satu kaum sahaja. Malahan meliputi segenap arca kehidupan sehingga membuatkan golongan-golongan non-muslim jatuh hati terhadap keindahan Islam itu. Itu adalah hakikat kebenaran Islam yang diakui oleh penganut selain Islam akan tetapi tidak disedari oleh umat Islam itu sendiri.

Mengapa hal ini boleh terjadi? Apakah mereka tidak mengetahuinya? Jawapannya bukan indah khabar dari rupa. Kebanyakan penganut Islam mengetahui akan keindahan dan kebenaran Islam ini. Mereka mengetahui halal dan haram yang telah dilandaskan untuk menongkah hidup di dunia yang mencabar ini. Akan tetapi yang menjadi masalahnya adalah umat Islam itu sendiri yang tidak mengamalkan sistem perundangan yang telah disusun oleh Islam yang menyeluruh itu.

Sekiranya sistem perundangan Islam tidak dilaksanakan, maka kita lihat berlaku kerosakan di sana sini. Keruntuhan akhlaknya, gejala seksual yang melampau dengan seks bebas, homoseksual, gay, lesbian, biseksual, dilanjutkan dengan gejala murtad yang semakin membarah di dalam masyarakat. Segala gejala 'hari kiamat' ini tidak akan berlaku seandainya manusia itu kembali kepada hukum Allah, sistem perundangan yang disusun oleh Islam. Maka akan harmonilah hidup bersama Islam.

Dalam erti kata yang lain? Individu muslim juga memainkan peranan yang terpenting untuk merealisasikan impian ini. Apa pula peranan aku? Apa yang boleh aku buat? Kenapa tak pasal-pasal aku yang kena? Itulah antara soalan yang terpancut dari lidah anda. Jawapannya mudah kerana tanggungjawab untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) adalah tanggungjawab semua umat Islam sebagaimana yang digesa oleh Quran. Bukan individu yang mempelajari dan mendalami bidang agama semata-mata.

Jadi apa yang perlu aku buat? Sekiranya kita menyorot kalam-kalam mutiara Rasulullah SAW banyak menggesa supaya melaksanakan amar makruf nahi mungkar ini. Antara kalam-kalam mutiara Baginda SAW yang sahih dan masyhur adalah :

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : "Sekiranya kamu melihat kemungkaran di hadapanmata kamu, hendaklah kamu mencegahnya dengan tanganmu (kuasa). Sekiranya kamu tidak mampu, maka cegahlah dengan lisanmu (tegur berhikmah, nasihat berdepan). Sekiranya kamu tidak mampu juga, maka cegahlah hanya dengan hatimu (benci dan jijik dengan maksiat yang dilakukan) sesungguhnya itulah selemah-lemah iman".

Rasulullah SAW juga bersabda mafhumnya : "Seorang yang bernama muslim itu adalah mereka yang menyelamatkan saudaranya yang lain dengan menggunakan lisannya (nasihat dan teguran) dan tangannya (kuasa)... ".

Perkara ini semakin jelas kita lihat setelah didatangkan dengan gesaan Quran dan penjelasan Sunnah untuk menggerakkan mekanisme dakwah ini dengan apa cara sekalipun untuk memperbetulkan kembali kerosakan ummah yang melanda masa kini. Perkara ini juga dilihat sedikit sebanyak menyentuh peranan lisan dalam arena dakwah.

Kembali kepada pendedahan asal entri kali ini supaya memainkan peranan lidah dengan sebaik-baiknya. Bahkan Islam turut menyarankan kepada umatnya supaya menjaga lidah dari perkara yang menjurus ke arah kemaksiatan. Dalam masa yang sama menjaga hati dan perasaan orang di sekeliling kita melalui percakapan supaya tidak mengguris mana-mana pihak yang akhirnya mengakibatkan mereka tertekan dan tidak mahu mendengar teguran selanjutnya.
Gunakanlah gaya bahasa yang penuh berhikmah, teguran yang lembut diiringi perumpamaan yang memberikan kesan, peringatan yang benar dan mampu membangkitkan perasaan takutkan Allah, seterusnya usah melenting dengan luntaran cemuhan, penghinaan dan ejekan dari mereka. Hadapi dengan penuh cekal dan sabar tanpa terselit perasaan jemu untuk mengajak mereka ke arah kebaikan. Merasa tanggungjawab untuk menyelamatkan mereka dari cengkaman iblis kembali kepada cahaya Islam yang sebenar. Semoga panduan yang sedikit ini mampu memberikan kekuatan untuk mendapat redha Allah.


Selain itu juga, sebagai pekerja kepada agama dalam meneruskan jalan-jalan dakwah para Rasul terdahulu dan pejuang-pejuang yang menegakkan Islam memang tidak dapat lari dari sunnah ujian itu. Hadapilah ianya dengan penuh sabar.

Konklusi menyaksikan peranan lidah yang cukup besar dalam mengembangkan Syiar Islam. Bahkan dalam mengukuhkan ukhuwah Islamiah ianya turut memainkan perana yang amat besar. Usah dipandang sepi peranannya kerana lidah mampu memugar kesatuan umat Islam dan kerna lidah jugalah mampu memecah belahkan umat Islam sebagaimana yang berlaku sekarang ini sekiranya tidak berpandukan kepada ciri-ciri keutamaan yang digariskan.

Akhir kalam penulis meninggalkan sidang pembaca sekalian dengan sepotong sepotong maksud ayat Quran dan secebis mafhum keratan Sunnah sebagai tatapan kita bersama walaupun 'jauh panggang dari api' berkenaan dengan entri kali ini.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengangkat suara kamu lebih tinggi dari had tinggi suara Rasulullah SAW... ".

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : "Sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah kamu berkata yang baik-baik dan benar ataupun kamu diam... ".

Semoga entri kali ini memberikan banyak manfaat bukan sahaja untuk kalian semua, bahkan untukmengingatkan diri ini terutamanya supaya menyedari hakikat apa yang telah diketahui ini.

Kata Muthaqqaf:
Kepada seluruh sahabat-sahabat yang mengenali diri ini, sekiranya ini yang kalian inginkan, penulis akan berusaha mengubah diri ini menjadi serang yang merendhakan suaranya, dan meninggalkan kata-kata yang lagha sekiranya menyakitkan kalian yang mendengarnya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: