Video Klip Pilihan

Monday, May 05, 2008

.:: Seruan Yang Esa Menyelubungi Dunia ::.

بسم الله الرحمن الرحيم





Maha Suci Allah atas segala tanda-tanda kebesaran yang berlaku. Subhanallah, Alhamdulillah, La Ilaha Illa Allah, Allahu Akbar. Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu yang berlaku di sekeliling manusia. Namun manusia itu masih berada di dalam kesesatan dan ego untuk menerima kebenaran yang terbentang di hadapan mata mereka. Sehingga mereka mati dalam keadaan mensyirikkan Allah. Semoga dijauhkan dari mereka yang dimurkaiNya dan mereka yang berada dalam kesesatan.


Nyata perkara yang merupakan simbolik kepada seruan mengajak manusia menyembah Allah bukan simbolik semata-mata. Sekiranya diamati ianya seolah-olah adat sesebuah institusi keagamaan yang mempunyai cara tersendiri dalam menyeru penganutnya untuk mengabdikan diri kepada Tuhan mereka. Agama Nasrani Kristian dengan gemaan loceng setiap hari Sabtu sebagai hari peribadatan mereka. Begitu juga dengan Yahudi, Buddha dan agama-agama lain yang mempunyai simbolik tersendiri untuk menyeru penganutnya untuk mengabdikan diri kepada Tuhan suci mereka itu.

Namun begitu seandainya diperhatikan simbolik agama Islam yang merupakan agama rasmi penduduk bumi tika ini bukanlah simbolik semata. Bahkan sekiranya dikaji dan diamati terdapat satu perbezaan yang amat ketara jika dibandingkan dengan agama-agama yang lain. Azan yang merupakan syiar kepada keagungan agama Islam merupakan satu wacana yang amat berkesan kepada sesiapa yang mendengarnya. Walaupun si pendengar tersebut tidak memahami maksud disebalik seruan kalimah teragung untuk menyuruh penganut-penganutnya mengabdikan diri kepada Allah, Rabbul Izzati 5 kali sehari semalam.

Apa yang menarik perhatian penulis selepas membuat sedikit penelitian setelah menjalani beberapa pengkajian sememangnya menunjukkan kebenaran Islam dari sisi Allah. Sebelum kita melangkah lebih jauh, sekiranya diamati melalui seruan azan tersebut yang dilaungkan menggunakan bahasa rasmi Al-Quran, Rasulullah SAW juga bahasa syurga. Iaitu bahasa Arab yang mana dilihat selaras walau di mana sahaja umat Islam itu berada. Walau berada di negara China, India, Amerika Syarikat, Thailand bahkan Malaysia ianya tetap dilaungkan dengan menggunakan bahasa Al-Quran. Jika agama lain adakah perkara ini berlaku? Semestinya tidak sama sekali.

Bahkan sekiranya diperhatikan pengkajian yang dijalankan oleh para penganalisis mendapati azan yang dilaungkan tidak pernah sekali pun terhenti! Bahkan ianya sentiasa dialungkan selama 24 jam tanpa henti disambung sebagai contoh bermula dari negara Indonesia pada azan subuh diikuti negara-negara lain. Disambung dengan azan Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak setiap hari tanpa henti! Begitu unik dan agungnya seruan azan yang menyeru manusia untuk mengingati Allah di seluruh dunia selagi mana manusia itu melaungkan azan tersebut.

Seandainya syiar teragung ini dilupakan malah dipandang enteng oleh umat Islam, maka pada saat itu akan menandakan dunia ini akan tamat. Kiamat semakin hampir ke gerbangnya. Kiamat akan menemui setiap manusia yang masih hidup dan telah terkubur dengan skali seruan sangkakala sebagaimana yang termaktub di dalam sabda Nabi SAW mafhumnya: '.... antara tanda-tanda hampirnya hari kiamat pada ketika itu azan tidak dilaungkan dan tiada lagi kedengaran sampai ke arasy Allah...'.

Oleh yang demikian saudara-saudaraku sekalian, bersama kita meneruskan usaha-usaha memartabatkan syiar Islam ini agar terus berada di persada dunia dengan laungan keramatnya 5 kali sehari. Bukan dengan dilaungkan melalui rakaman suara sebagai menggantikan laungan azan tersebut. Ingatlah sesungguhnya Nabi SAW pernah bersabda mafhumnya: 'sesungguhnya pahala orang yang melaungkan azan itu terletak kepada ramainya jamaah yang hadir menunaikan solat tersebut'. Amat besar ganjaran bagi mereka yang melaungkan azan bahkan mampu sampai ke arasy Allah seandainya dilaungkan dengan penuh keikhlasan.

Kata muthaqqaf:Berlumba-lumbalah dalam mengejar perkara kebajikan dan janganlah kita berlumba-lumba untuk mengerjakan kemaksiatan dan penderhakaan kepada Allah. Semoga dilindungi dan dijauhkan Allah dari segala perkara yang mengundang kemurkaanNya. Amin.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: