Video Klip Pilihan

Thursday, May 08, 2008

.:: Nikmat Cinta : Antara Murka dan Redha ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Cinta merupakan sesuatu yang amat kompleks untuk diterjemahkan dalam arca kehidupan. Malah, andai dilihat pendekatan cinta melalui pandangan kacamata manusia sememangnya ianya lebih melihat kepada sudut kepentingan dunia semata. Itulah satu penyelewengan terhadap kefahaman cinta yang sebenarnya yang perlu dihayati untuk menjadikan cinta itu sebagai perantaraan terbaik supaya lebih mendekatkan diri kepada Allah. Pelik kan? Tapi itulah hakikat yang dianjurkan oleh Islam.


Apakah cinta sebenar yang dianjurkan Islam itu? Adakah salah andai kita ingin menjalin hubungan cinta bukan sejenis (antara lelaki dan wanita) sebelum termeterai talian nikah? Bagaimana pula konsep cinta sesama jenis yang Islam anjurkan kepada umatnya supaya diperkasakan pada waktu ini?

Perihal Cinta Dunia

Sememangnya perkara ini banyak menjadi pertikaian dan perselisihan dikalangan mereka yang mendalami lunas-lunas yang Islam gariskan. Apatah lagi seputar perihal mereka yang kurang mengetahui mengenai batas-batas pergaulan diantara dua jantina yang berbeza ini. Sekiranya kita membelek lantas menghayati lipatan perjalanan orang-orang terdahulu yang benar-benar berpegang pada ajaran Islam yang sebenar, sememangnya wujud perbezaan yang amat ketara.

Ayat-ayat Allah yang diterapkan melalui perjalanan hidup mereka yang penuh kesucian tanpa palitan noda menjadikan keadaan mereka jauh dari suasana maksiat. Dibandingkan dengan era millenium ini menyaksikan ayat-ayat cinta dunia menabrak revolusi implikasi masyarakat yang semakin menyimpang jauh dari lunas-lunas Islam yang disusun dengan pendekatan terbaik. Akan tetapi disalah faham dan disalahgunakan oleh orang individu-individu tertentu.

Keadaan semasa tika ini dilihat turut sama mengheret umat Islam yang cetek ilmu agamanya ke lembah yang mengundang murka Allah.
Sewajibnya, sebelum kita melangkah pergi lebih jauh untuk menjejak hubungan cinta terlarang ini, perlu difahami terlebih dahulu berkaitan dengan hukum hakam diantara dua jantina yang berlawanan ini.

Islam meletakkan satu garis panduan TIDAK MEMBENARKAN LANGSUNG IKATAN ANTARA LELAKI PEREMPUAN selain atas dasar pendidikan, ekonomi dan beberapa bidang yang berhajat kepada komunikasi antara kedua-dua jantina ini hanya tika diperlukan sahaja. Ini sekaligus mengharamkan hubungan tidak syari'e (tanpa batasan perundangan Islam) yang mana akhirnya dilihat akan menarik ke lembah maksiat yang lebih dahsyat.


Malah di dalam Al-Quran sendiri menyebut di dalam sebuah ayat maksudnya:"Janganlah kamu menghampiri zina... ". Melalui ayat ini jelas menyatakan larangan yang keras supaya umat Islam jangan menghampiri perkara-perkara yang membawa kepada murka Allah ini. Bahkan seandainya dipraktikkan hukum hudud sesiapa yang melakukan zina akan disebat sebanyak 100 kali bagi mereka yang belum berkahwin dan rejam sehingga mati bagi yang sebaliknya setelah memenuhi syarat-syaratnya. Seandainya hukum Allah ini dilaksanakan, dunia akan menyaksikan masyarakat hidup dalam keadaan yang penuh keamanan dan harmoni.


Bahkan di dalam Al-Quran Allah sendiri berfirman maksudnya:"Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan undang-undang Allah maka mereka dikalangan orang-orang yang zalim". Kembali kepada subtopik yang ingin penulis sampaikan, sememangnya hubungan antara lelaki dan perempuan sememangnya DIHARAMKAN bukanlah dari segala sudut. Akan tetapi dalam beberapa perkara dibolehkan bersama dengan beberapa garis panduan yang Islam tetapkan bagi mengelakkan fitnah masyarakat.

Malah terdapat satu lagi cinta songsang yang kian menyerap masuk ke dalam jiwa-jiwa pencinta Ilahi sehingga merosakkan kesucian agama. Cinta songsang yang tidak menurut landasan dan saranan Islam sehingga membawa kepada keruntuhan akhlak para muda mudi yang kian luntur akidah mereka. Kembali kepada zaman perutusan Rasul Lut AS untuk umatnya yang menyalahi sunnatullah. Mereka bukan sahaja menyukai kaum sejenis, bahkan mengadakan hubungan seks dan tidak bernafsu terhadap kaum Hawa yang akhirnya mengundang murka Allah yang amat dahsyat.

Konsep Cinta Sesama Jenis

Islam menggalakkan sesama muslim untuk menjalinkan kasih sayang sesama kaum sejenis dengan penuh harmoni tanpa menjemput rona-rona keghairahan yang bisa membawa hubungan yang asalnya ingin berlandaskan ukhuwah Islamiah bertukar murka Allah. Inilah yang perlu dijaga supaya hubungan sesama jenis sentiasa menjaga lunas-lunas Islam yang digariskan.


Peringatan yang sekeras-kerasnya untuk diri penulis dan seterusnya seluruh saudara seagama sekalian, jauhilah gejala gay, homoseksual, lesbian, biseksual (suka melakukan seks terhadap 2 jantina), seks bebas dan sebagainya!
Sepintas lalu dilihat ianya menggambarkan situasi kehancuran umat terdahulu sehingga mengundang murka Allah dan laknat para Rasul serta para malaikat. Ramai yang mengakui, tahu selok belok mengenai hukuman Allah terhadap segala zina yang menjijikkan ini. Dalam masa yang sama diri masih bergelumang dengan murka Allah yang berpanjangan ini.

Apa yang Islam dan Rasulullah SAW sendiri sarankan supaya kita menyayangi, mengasihi, menyintai sesama muslim kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Mengharapkan saudara seakidah yang disayangi ini mampu memimpin diri dengan mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. Bukan kasih, sayang dan cinta yang disemai itu buta dan pekak tidak mampu melakukan suatu baik pulih terhadap saudaranya seandainya terdapat kecacatan dan kemungkaran yang berlaku di hadapan mata, pada diri saudara yang kita sayangi itu.

Dalam hadith Rasulullah SAW sendiri bersabda mafhumnya:"Tidak sempurna iman seseorang dikalangan kamu sehinggalah kamu menyayangi saudara kamu sebagaimana kamu menyayangi diri kamu sendiri". Meskipun Islam dan Rasulullah mengajar dan menggesa kita untuk menyayangi saudara sesama jenis dengan batasan yang tertentu, namun ini tidak bermakna tidak dibenarkan secara total untuk menyayangi saudari seagama kita yang juga perlu kita lindungi dan sayangi dari dicemuh musuh-musuh Islam.


Inilah Islam. Ingin menjaga kesejahteraan sejagat supaya umatnya mampu memelihara maruahnya dari tercemar sekaligus akan mencemari maruah keluarga, masyarakat, bangsa, negara yang akhirnya akan membawa kepada pencemaran kepada Islam yang suci ini.


Mengejar Cinta Yang Hakiki


Pokok segala kontroversi yang panas seputar soal cinta wajar dikembalikan kepada empunya segala cinta. Tuhan segala cinta. Tuhan yang mencipta cinta supaya mampu dinikmati semua makhluk. Yang Maha Berkuasa terhadap tiap sesuatu yang mampu mengambil kembali produk ciptaannya tanpa memerlukan keizinan sesiapa. DIAlah yang mutlak memiliki segala yang di langit, bumi dan di arasy. Dari DIA kita didatangkan dan sudah pasti kepadanya juga akan dikembalikan tanpa diberikan penalti tamatnya riwayat seseorang.


Semua mengerti maksud disebalik baris kalimah yang penulis susun itu. Jelas menunjukkan suatu kuasa agung yang sememangnya dia sahajalah yang layak untuk dicintai, disayangi, dikasihi dan dirindui dengan sepenuh hati tanpa sempadan. DIAlah yang berhak untuk memiliki segala yang terbaik. Ya, Allah tidak berhajat kepada cinta makhluk sekerdil manusia yang hina ini. DIA tidak mengharap langsung walaupun sebesar zarah terhadap cinta manusia kepadanya.

Namun begitu, selaku makhluk yang dicipta dengan sebaik-sebaik kejadian wajar dan sewajibnya menyedari tanggungjawab untuk mencurahkan amal bakti yang tidak terkira sebagai persembahan untuk bertemunya kelak. Seandainya dalam diri kita tiada secebis perasaan mampukah menatijahkan satu peribadatan yang terbaik kepada Rabbul Izzati yang memerlukan penyembahan secara total rohani dan jasmani? Bukankah pengabdian yang sempurna itu perlu dihadirkan segenap perasaan cinta, kasih, sayang dan rindu kepada Allah?

Justeru itu, adalah perlu dikembalikan pemahaman yang sebenar kepada cinta yang hakiki. Cinta yang abadi tidak terhad untuk dicintai di dunia semata-mata, bahkan membawa kepada cinta di alam hakiki menuju taman-taman syurga yang penuh dengan nikmatNya. Manakah cinta yang ingin kita raih seandainya dibentangkan dua pilihan ini? Semestinya ramai yang memilih cinta yang jelas tersurat kerana mampu merasai nikmat yang sementara itu. Sementelahan itu diabaikan terus cinta hakiki yang lebih berharga itu.

Allah berfirman dalam wahyu terakhir umat Islam maksudnya:"Katakanlah (wahai Muhammad SAW) kepada umat Islam, seandainya kamu mencintai mencintai Allah maka ikutilah aku kalian akan dicintai Allah dan akan diampunkan dosa-dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Renungilah semoga bermanfaat untuk injeksi ketakwaan kepada Allah.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: