Video Klip Pilihan

Friday, May 30, 2008

|| Penghulu Segala Hari ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera buat seluruh pelayar-pelayar coretan ilmiah dan pengkaji-pengkaji yang cahaya kebenaran dari Tuhan Penguasa Sekalian Alam. Sekadar ingin melakar secangkir ilmu buat tatapan semua yang dahagakan ilmu Allah yang amat meluas itu. Penulis sekadar penuntut ilmu yang diamanahkan untuk menyampaikan segala yang mampu memberikan sejuta harapan dan manfaat buat azimat seluruhnya.


Hari ini seluruh umat Islam berada dalam sebuah hari yang memberikan sejuta kelebihan bagi mereka yang benar-benar menghayati isi kandungannya. Tidak semua yang mengetahuinya bahkan dari kalangan mereka mengetahui fadhilat yang terkandung di dalamnya tidak smua yang memenuhi tuntutan yang dinyatakan. Sukar untuk mentafsir situasi seseorang dalam melaksanakan sesuatu yang diketahui. Namun begitu seharusnya selaku seorang peganut yang beriman teguh kepada Allah memastikan setiap amalan yang dilakukan ditambah dari hari ke hari untuk merebut redha Ilahi.

Jumaat menyimpan 1001 rahsia yang tersurat dengan kenyataan rasmi Al-Quran dan Sunnah mengenainya supaya umatnya menghayati isi kandungan yang terdapat di dalamnya. Bahkan ianya wajar dijadikan satu amalan tambahan setiap kali tibanya penghulu segala hari ini.

Sebagaimana Ramadhan yang digelar sebagai penghulu segala bulan bahkan lebih baik dari 1000 bulan, Jumaat turut menjadi gelanggang utama umat Islam untuk merebut fadhilat amalan yang terkandung di dalamnya. Segalanya akan diperjelaskan sebentar lagi berdasarkan sepanjang pengetahuan pengajian dan pengamalan penulis.
Berikut antara amalan yang digalakkan kepada umat Islam tatkala menjelmanya hari yang penuh barakah ini untuk panduan dan ikutan bersama.
  • Mandi sunat Jumaat - paling afdhal ketika semakin hampir masuknya waktu zohor.
  • Berwangi-wangian untuk bertemu Allah.
  • Memakai pakaian yang paling bersih dan kemas.
  • Membaca surah Al-Kahfi tidak kira disepanjang hari ini. Cuma yang afdhalnya sebelum solat Jumaat.
  • Bersedekah kepada mereka yang memerlukan seikhlas hati lebih-lebih lagi di musim imtihan ini.
  • Memotong kuku tangan dan kaki, afdhalnya sebelum solat Jumaat.
  • Mencukur misai dan apa jua bulu yang difikirkan perlu juga sebelum solat Jumaat.
  • Datang sebelum azan berkumandang.
  • Membasahi lidah berzikir dan mengingati Allah setiap saat.
  • Memperbanyakkan diri dengan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi SAW.
  • Memperbanyakkan amalan sunat yang lain seperti solat sunat, istighfar dan sebagainya.
Itulah sedikit sebanyak perkongsian ilmu yang dapat penulis salurkan buat tatapan semua untuk sama-sama kita amalkan dan memantapkan institusi pembentukan syakhsiah diri supaya sejajar dengan kemajuan negara dan bangsa. Islam itu meliputi keseluruhan kehidupan manusia dan setiap inci arca ketentuan yang Esa terhadap makhluknya yang lengkap. Bergantung kepada manusia itu sendiri sejauh mana mereka menterjemahkan tuntutan tersebut dengan sebaik mungkin.

Didalam coretan penyaluran pengetahuan Islam sudah pasti terdapat kekurangan samada dari segi pemberian maklumat mahupun kesahihan maklumat tersebut. Segala komentar dan
knowledge added amatlah dialu-alukan untuk kita bersama-sama membantu menaikkan reputasi umat Islam agar kembali gemilang bersatu di bawah naungan Islam yang sebenar. Usah diperbesarkan perkara yang menimbulkan perpecahan yang berpanjangan. Semoga kita semua mampu menyelesaikan setiap permasalahan umat dengan penuh kredibiliti berpandukan Quran dan Sunnah.

Dalam kesibukan pemfokusan terhadap perang imtihan yang berlangsung tika ini, ianya sekali-kali tidak melemahkan semangat penulis untuk terus menyalurkan info sumber inspirasi ummah. Selagi hayat di kandung tanah, selagi diri ini masih bernafas penulis sedaya mampu menyalurkan ilmu-ilmu Islam yang memberikan manfaat kita bersama.

Bukankah Islam menyarankan umatnya suaya saling bantu membantu, nasihat menasihati dan berpesan-pesan antara satu sama lain. Menyeru ke arah kebaikan dan menghalang dari kemungkaran. Usah memandang tuntutan ini hanya pada golongan tertentu kerana ianya terpundak pada bahu-bahu umat Islam keseluruhannya. Renung-renungkan dan selamat beramal.


Kata Muthaqqaf:
Maaf kepada semua kerana tertunggu-tunggu entri terkini penulis (sambil berseleroh). Penulis masih berbaki 6 subjek untuk dilangsaikan yang akan berakhir 14 Jun ini. Doakan perjalanan dakwah ini mampu diteruskan dengan jayanya demi memartabatkan seruan membangunkan syiar Islam yang mulia ini. Semoga kejayaan milik kita bersama untuk memartabatkan tuntutan Islam yang suci. Bersama doakan perjalanan dakwah ini direstuiNya diringi sokongan dan doa kalian menyuluh laluan di malam yang gelap.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: